13 Ogos 2012

Bengkel Bisnes Hujung Minggu

Bermula bulan Oktober 2012 ini, pihak kami akan menjalankan beberapa siri bengkel dan seminar pada hujung minggu.

Ia akan melibatkan pemilik perniagaan IKS dan pemilik perniagaan OMO (One Man Operation).

Terdapat beberapa siri dalam bengkel ini
  • Memulakan Perniagaan Untuk IKS
  • Pemasaran Offline dan Online
  • Perkhidmatan Pelanggan Bergaya dan Berjaya
  • Jenama Sebagai Agen Jualan
Sebarang maklumat, akan pihak kami maklumkan di blog ini dan Facebook.

07 Ogos 2012

Perniagaan dan Kejayaan


Rata-rata usahawan yang menjalankan perniagaan ingin mengecapi kejayaan. Kerana itu jugalah kita disarankan berniaga.

               Dunia perniagaan penuh dengan onak dan cabarannya. Jatuh bangun adalah adat bagi peniaga. Kadangkala, kejayaan yang dicitakan seperti tidak akan kesampaian. Menelusuri arus dunia perniagaan yang serba pantas, meredah onak ranjau berurus niaga dengan para pelanggan dan rakan niaga. Usahawan adalah pejuang dalam mencari erti kejayaan.
               Dunia sentiasa berubah, pemimpinlah yang mengubahnya. Seberapa pantas para usahawan seperti anda mampu mengejarnya, terpulang kepada daya tahan anda dan syarikat anda. Arus deras tersebut tidak akan menunggu anda, sebaliknya ia akan meninggalkan anda jauh ke belakang. Anda yang perlu mengejarnya.
               Mari kita fikirkan sejenak. Lebih 50 tahun dahulu, kita menggunakan piring hitam bagi mendengar lagu-lagu. Kemudian, ia digantikan dengan pita kaset. Ia mengambil masa sehingga hampir 50 tahun untuk menggantikan piring hitam tersebut. CD (Compact Disc) pula menggantikan pita kaset hanya dalam tempoh lima tahun. Tidak kurang daripada tiga tahun selepas CD muncul, MP3 pula diperkenalkan. Bukan itu sahaja, iTunes juga diperkenalkan kepada khalayak seiring dengan teknologi MP3.

07 Julai 2012

Sayangi Diri Sendiri, Tips Untuk Berjaya

Menjadi tanggungjawab setiap khalifah Allah dan anda yang menjadi usahawan untuk berjaya dalam setiap urusan yang anda jalankan.

Salah satu teknik yang boleh anda cuba ialah menyayangi diri sendiri dalam sebarang urusniaga.

Tentu anda tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan sayangi diri sendiri. Biar saya berikan sedikit penerangan di sini.

Dalam agama kita juga diseru supaya menyayangi diri sendiri dan saudara seagama seperti mana kita menyayangi diri sendiri. Kerana untuk berjaya, kita perlu ada sifat sayangkan diri sendiri.


03 Julai 2012

Bisnes Dengan Allah


Menjadi usahawan berjaya adalah impian setiap usahawan. Tidak kira bisnes skala kecil atau besar, pastinya inginkan kejayaan. Memiliki perniagaan dengan cawangan serata tempat atau sehingga menjangkau ke benua lain di dunia, pastinya menjadi impian.

Disebalik keghairahan menjalankan perniagaan, kadang-kala kita lupa, bisnes yang sebenar-benar yang kita jalankan adalah dengan Allah, bukan dengan sesama manusia seperti yang kita jalankan sekarang. Justeru, bagaimana yang dikatakan berbisnes dengan Allah?

Pasti anda pernah mendengar nama seorang usahawan Muslim zaman Rasulullah, Abdul Rahman bin Auf. Beliau dijanjikan syurga oleh Allah swt.

Mari kita lihat apa yang saya maksudkan dengan berbisnes dengan Allah.


30 Jun 2012

Saya dan Penulisan Buku

Sudah lama saya tidak mencatat di ruangan ini. tetapi saya tidak melupakan untuk terus tetap berada disini. Ini semua kerana anda yang snetiasa menyokong saya untuk terus berada di alam Internet ini.

Kali ini, saya ingin menceritakan serba sedikit bagaimana saya terlibat dalam dunia penerbitan sebagai penulis buku.

pada tahun 2011, kira-kira dua bulan sebelum ramadhan, saya merenung dan melihat kembali perancangan dua buah syarikat saya. Pada masa itu, syarikat fotografi dan sebuah syarikat usahasama dengan isteri saya iaitu syarikat perancangan majlis (event management). Secara tidak langsung, saya terfikir berkenaan pemasaran. Lantas, saya mencari beberapa maklumat dalam Internet berkenaan pemasaran untuk jurufoto majlis perkahwinan.

Saya agak terkejut, para jurufoto perkahwinan di luar Malaysia lebih terbuka dan tercari-cari ilmu berkaitan pemasaran. Bukan di Malaysia tiada, tetapi sedikit. Hampir kebanyakan jurufoto perkahwinan bebas di Malaysia lebih mementingkan gajet dan hasil gambar berbanding pemasaran, yang sebenarnya perlu bergerak seiring bagi memastikan perniagaan tersebut bergerak lancar.


23 Mei 2012

Rahsia Memikat Pelanggan

Sebagai usahawan, mahu tidak mahu, kita perlu memikat pelanggan supaya terus mendapatkan produk atau servis yang kita ketengahkan.

Terdapat pelbagai cara dan teknik yang sering digunakan oleh para usahawan di luar sana. Ada yang memberikan hadiah percuma, waranti tambahan, servis lepas jualan secara percuma atau secara diskaun. Tidak kurang juga yang memberikan banyak barangan percuma pada harga tidak masuk akal!

Saya akan kongsikan dengan anda dua tips yang berguna  untuk memikat pelanggan anda. Tips yang mudah dan amat sesuai diamalkan oleh anda, sekiranya anda sering berjumpa dengan para pelanggan. Anda juga boleh meminta para staf anda berbuat perkara yang sama.

Pertama - Senyum

Tiada apa yang dapat menandingi kuasa senyuman ikhlas ketika anda berhadapan dengan pelanggan. Setiap insan bernyawa amat menyukai senyuman. Sesiapa sahaja mudah tertarik dengan senyuman ikhlas.

13 Mei 2012

Tip Mengelak Kegagalan Perniagaan - 2


Kembali kita bertemu dalam ruangan catatan ini.

Sebelum ini, saya sudah kongsikan dua tips bagaimana untuk mengelakkan kegagalan dalam perniagaan. Tentu anda teruja ingin mengetahui lagi beberapa tips bagaimana untuk anda mengelakkan kegagalan dalam perniagaan.

10 Mei 2012

Tips Mengelak Kegagalan Perniagaan 1


Dari pengalaman saya sebagai usahawan, saya dapati terlalu ramai usahawan yang terpaksa gulung tikar hanya selepas beberapa bulan atau tahun mengecapi ‘kebahagian’ sebagai usahawan. Situasi ini amat tidak baik jika sentiasa berterusan. Kita sedia maklum, tujuan utama seseorang menceburi bidang keusahawan ialah untuk bebas kewangan, tetapi jika sebaliknya pula yang berlaku, bagaimana?

Saya dapati usahawan-usahawan tersebut mengalami kegagalan kerana mereka adalah usahawan ‘bidan terjun’. Mereka menjalankan usahaniaga tanpa ilmu yang mencukupi. Sudah pasti mereka termakan dek kata-kata manis usahawan lain yang berjaya, yang sentiasa berkata akan keseronokan bidang perniagaan.

01 Mei 2012

Memulakan Perniagaan Tanpa Modal Besar

Assalamualaikum, bersua lagi kita di ruangan maya ini. Alhamdulillah, saya sudah tidak sesibuk seperti bulan lepas. Kini, saya mampu tumpukan perhatian untuk berkongsi tips dan maklumat dengan anda bagi memastikan anda dapat membina empayar perniagaan yang berjaya.

Tentu anda ingin tahu bagaimana untuk memulakan perniagaan? Apa yang perlu disediakan dan apa pula yang diperlukan sebagai sokongan kepada perniagaan tersebut supaya tidak goyang dikemudian hari.

Baiklah, berkenaan perkara ini saya mempunyai satu tips, iaitu mulakan dengan apa yang yang anda. Maksudnya, jika anda mempunyai wang untuk memulakan perniagaan hanya RM30,000 gunakan sebahagian dari wang tersebut sebagai modal permulaan perniagaan. Kenapa saya katakan hanya sebahagian?

13 April 2012

Manisnya Kejayaan Untuk Siapa?

“Our greatest glory is not in never failing but in rising up in every time we fail”
– Ralph Waldo Emerson

Ada yang memandang kegagalan sebagai penutup kepada apa yang diusahakannya. Atau ada juga yang mengatakan kegagalan bermakna, kita tidak boleh lagi meneruskan apa yang sedang dilakukan, berhenti dan hanya lakukan perkara biasa-biasa yang tidak akan gagal.

Situasi sebegini sering terjadi kepada usahawan yang baru memulakan perniagaan dan mengalami kegagalan kemudiannya. Rakan-rakan atau saudara-mara terdekat akan mengatakan perkara negatif kepada beliau, sehinggakan beliau mengambil jalan singkat, terus menguburkan impian yang disimpan selama ini, iaitu untuk berjaya sebagai ahli perniagaan.

28 Mac 2012

Meniru Kejayaan Orang Lain

Kedengaran amat pelik sekiranya kelemahan seseorang boleh di manipulasi. Tetapi itu adalah hakikat sebenar. Kelemahan seseorang boleh dimanipulasi dan dijadikan sebagai kelebihan. Begitulah yang dilakukan oleh kebanyakan usahawan yang Berjaya di dunia ini. Mereka tidak menjadikan kelemahan sebagai kekurangan mereka. Malah mereka bangga dengannya.

Kelemahan seseorang boleh menjadi tekanan bagi dirinya. Ia akan dianggap sebagai punca kenapa beliau gagal dalam banyak perkara. Kelamahan bukanlah factor kegagalan.

Saya tidak memiliki kemahiran matematik yang kuat. Malah saya susah untuk mengingati nombor yang terlalu banyak atau yang melibatkan pengiraan yang rumit. Saya juga meminati muzik. Mendengar muzik dan melagukannya ketika saya gembira adalah satu kelebihan saya. Saya menggunakan melodi lagu untuk membuatkan saya mengingat nombor. Seperti nombor telefon dan nombor akaun bank.

Kursus Penulisan Buku


Sila klik pada gambar untuk maklumat lanjut.

Tarikh: 21 April 2012
Masa: 2.00 ptg - 5.00 ptg
Tempat: Seminarium, Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani
Yuran: RM60 seorang / RM150 untuk berkumpulan 3 orang

Hubungi Shah Othman 013-4324936 untuk tempahan tempat.

Sila klik disini untuk maklumat lanjut.

13 Mac 2012

Minda usahawan

Saya ingin berbicara berkenaan minda.

Seringkali saya bersemuka dengan beberapa orang rakan seperniagaan yang masih lagi bermentaliti 'ahli perniagaan kampung'. Sedangkan sekarang ini kita semua sudah memasuki era perniagaan global yang memerlukan minda pemikiran yang jauh lebih hebat.

Minda ahli perniagaan kampung takut untuk melebarkan sayap perniagaan kepada orang ramai. Ahli perniagaan kampung tersebut hanya berkata, "cukuplah aku mendapat rezeki sebanyak ini". Salah sebenarnya pemikiran begitu.

07 Mac 2012

Menangani sifat malas

Salam sejahtera semua. Lama saya menyepikan diri dari blog ini. Terlalu sibuk dengan tugas harian. Nak cari bahan untuk buku terbaru, nak menyediakan bahan untuk kursus dan seminar. macam itulah kerja saya.

Kali ni saya nak berikan tips bagaimana untuk mengelakkan sifat malas dari menjadi darah daging kita.

Tentu anda setuju kalau saya katakan, ramai usahawan di Malaysia ni pemalas. Kenapa saya kata pemalas? Cuba bayangkan, bangun tidur pukul 10 pagi, buka kedai 12 tengahari, makan tengahari pukul 1, kalau sempat, tidur sekejap sampai zohor. Kemudian tutup kedai jam 9 malam. Ha, itu yang ada kedai. kalau yang bekerja dari rumah pula?

19 Februari 2012

Buku Sudah Terbit | Khas untuk fotografer

Assalamualaikum, salam sejahtera sahabat sekalian.

Diharap semua sihat dan mendapat rahmat dari Allah swt.

Entri kali ni saya nak hebahkan kepada kalian semua mengenai buku pemasaran yang saya khususkan kepada rakan-rakan jurufoto sekalin. Tajuknya 'Kaya Sebagai Fotografi Perkahwinan'.

Klik pada gambar untuk membuat pembelian

Isi kandungan buku ini berkaitan teknik dan tips pemasaran yang menggunakan kos paling minima dan mampu dilaksanakan oleh sesiapa sahaja. Namun ia mampu menjadi pelonjak kepada jenama perniagaan fotografi yang dibina.

Selain itu, tips berkaitan 'pemujukan' pelanggan untuk mendapatkan servis dari jurufoto juga dimasukkan. Ia adalah satu tips yang berguna dan tidak memerlukan sebarang kos dan kemahiran tinggi. Hanya lakukan sedikit perubahan dalam persembahan kita di hadapan pelanggan, sudah mencukupi.

Saya juga berkongsikan pengalaman saya dalam bidang fotografi perkahwinan, selama hampir lima tahun dalam industri tersebut. Kini saya masih lagi terlibat dalam bisnes tersebut, tetapi lebih menjurus kepada pemilik perniagaan. Kerja-kerja lapangan saya banyak serahkan kepada jurufoto-jurufoto yang siap sedia membantu saya.

Di Shah Othman Training and Consultancy (SOTC), saya terlibat secara langsung melahirkan usahawan yang bersedia bersaing secara sihat di dalam dunia perniagaan.

Semoga anda sukses selalu.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

12 Februari 2012

Melabur wang atau melabur tenaga?

Sebagai usahawan, kita tidak terlepas dari ajakan atau pujukan rakan-rakan lain yang sama-sama usahawan untuk melabur wang kita di suatu dana pelaburan. Kita juga tidak akan terlepas dari 'terpengaruh' dengan sesuatu badan yang menguruskan pelaburan.

Selama saya bergelar usahawan, saya hanya membuat pelaburan di Amanah Saham Bumiputera, kerana saya menaruh kepercayaan kepada badan tersebut. Walau pulangan yang dijanjikan akan diperolehi hanya selepas setahun, saya tetap melabur di situ. Jumlahnya sudah cukup bagi saya.

01 Februari 2012

Menghadapi Kegagalan

Sebagai seorang manusia, kita sering terleka malah sehingga melalaikan. Kita juga tidak terlepas dari terlupa.

Seperti yang pernah saya kongsikan, kegagalan akan dirasai setiap insan. Malah orang yang berjaya mendaki puncak Gunung Everest semuanya menghadapi kegagalan pada permulaannya. Tetapi apa yang terjadi pada penghujungnya? Mereka semua berjaya.

Begitu juga dalam perniagaan. Kegagalan adalah ujian yang membolehkan kita mengatur langkah bagi melakukan sesuatu yang lebih baik. Ia memberi pengajaran kepada kita supaya tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama.

Sekiranya kegagalan tersebut masih berulang, ini bermakna anda mengulangi lagi kesilapan yang anda pernah lakukan. Sekiranya anda gagal dalam perbincangan untuk mendapatkan tender, cuba selidiki, adakah anda masih menggunakan pendekatan yang sama untuk mendapatkan tender tersebut? Jika ya, bermakna anda perlu mencari strategi yang lain yang lebih bagus.

Bijak mengatur strategi adalah kunci penting dalam mengatur langkah menuju kejayaan. Berhenti sejenak, toleh kebelakang, lihat kembali kesan jejak anda sebelum ini. Cuba teliti satu persatu apa yang telah anda tinggalkan. Adakah ia baik atau tidak?

Sekiranya anda sudah berpuas-hati dengan penelitian tadi, pandang semula kehadapan, mulakan langkah kehadapan, bukan dengan derap pantas tetapi dengan langkah yang berhati-hati dan penuh keyakinan supaya anda tidak lagi meninggalkan jejak seperti yang telah anda lakukan sebelum ini.

Semoga anda sukses selalu.


Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

13 Januari 2012

7 Tip Kejayaan Bisnes dan Motivasi Syed Mukhtar Al Bukhary

Ditulis oleh Aqif Azizan

Sejak dari kecil, beliau sudah memahami betapa pentingnya erti kejayaan dalam kehidupan.

Kejayaan yang akan mengubah hidup diri serta keluarganya. Yakni mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan. Seterusnya menjadikan diri sebagai seorang usahawan kaya dan berjaya.

Beliau adalah Tan Sri Syed Mukhtar Al Bukhary.

Seorang usahawan Melayu yang cukup dikenali di mata masyarakat.

Kisah kejayaan beliau menjadi inspirasi kepada golongan para usahawan. Namun apakah rahsia kejayaannya? Apakah prinsip kehidupan yang dipegang oleh Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary dalam perniagaannya?

Berdasarkan analisis yang dikongsikan oleh beliau sepanjang kehidupannya berniaga, terdapat 7 tip kejayaan yang penting untuk diamalkan oleh para usahawan iaitu:

#1 – Usaha dan Tekun, Serta Sedar Ia Memakan Masa

Kejayaan itu prinsip asasnya adalah usaha. Setiap usaha pula memerlukan fokus, yakni membawa maksud kepada ketekunan. Hanya orang yang tekun sahaja mempunyai peluang untuk berjaya dalam perniagaan.

Dalam masa sama, usahawan perlu sedar tentang faktor masa. Dalam perniagaan, masa untuk memperoleh kejayaan yang diinginkan adalah berbeza-beza.


#2 – Mengenali Kekuatan dan Kelemahan Diri

Usahawan yang hebat lagi berjaya adalah mereka yang jelas tentang kekuatan dan kelemahan diri. Kekuatan itu digunakan untuk memacu perniagaan ke tahap yang lebih baik. Dalam satu kajian yang dibuat, usahawan yang menggunakan kekuatan mereka untuk membangunkan perniagaan bukan sahaja mudah untuk berjaya.

Malah mereka akan mencapai tahap hidup yang bahagia dan kepuasan terhadap perniagaan yang dibangunkannya.

Buku Now Discover Your Strength yang ditulis oleh Mack Buckingham adalah buku rujukan yang bagus untuk para usahawan mengenal pasti apa kekuatan dalam diri mereka.

Manakala para pekerja atau rakan niaga boleh digunakan bagi mengatasi kelemahan diri.


#3 – Tidak Ada Jalan Singkat Dalam Perniagaan

Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary sering menyatakan, kejayaan dalam perniagaan tidak mempunyai jalan singkat. Setiap laluan dalam perniagaan yang kita pilih, mempunyai cabaran dan dugaan yang tersendiri.

Tambah beliau, orang yang lemah akan mengaku kalah. Bagi usahawan yang memiliki jiwa dan semangat yang kental, mereka akan menganggap setiap perjalanan itu sebagai pengalaman yang mengajar, untuk menjadi seorang pemilik bisnes yang lebih baik.

#4 – Kemewahan Bukan Motivasi Bisnes

Kereta besar, rumah besar, jam tangan mahal dan material-material mahal bukan faktor utama kejayaan usahawan.

Ia hanya menjadi salah satu daripada hadiah untuk membangkitkan motivasi dan meningkatkan estim diri. Kesilapan usahawan yang memulakan perniagaan untuk hidup mewah, akan membawa mereka kepada lembah hutang yang tidak berkesudahan.

Selain daripada Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary sendiri yang mengakui tentang isu ini, lagenda dunia teknologi dan gajet, Steve Jobs turut menyatakan,

“Perniagaan itu akan lebih berjaya dan hebat apabila kita melakukan apa yang kita cintai. Bukan tertakluk pada kemewahan semata-mata.”

#5 – Pangkat Dunia Juga Bukan Motivasi Perniagaan

Adakah kita berniaga kerana mahu memegang jawatan atau pangkat yang tinggi dalam syarikat?

Semua itu tidak mustahil. Namun kepuasan yang sebenar tidak bergantung pada ia semata-mata. Menurut beliau, sebab-sebab usahawan itu berjaya terletak pada:

· Keinginan yang kuat untuk hidup bebas.

· Ingin mencapai matlamat bebas kewangan.

· Ingin mengubah dunia menjadi lebih baik.

· Ingin mengisi jawapan kepada masalah yang dihadapi masyarakat.

#6 – Kejayaan Bisnes Itu Adalah Rezeki Allah

Walau apa jua cara yang kita usahakan dalam perniagaan, matlamat utama kita sebagai usahawan (khususnya yang beragama Islam) adalah mengingati bahawa setiap rezeki yang diturunkan itu adalah milik Allah.

Justeru itu, apabila kita memperoleh kejayaan walaupun kecil, ucapkan syukur dan lakukan kebajikan mengikut kemampuan agar kita memperoleh lebih banyak punca rezeki.


#7 – Berbisnes Kerana Agama

Dalam Islam, agama ini menuntut penganutnya untuk melakukan perniagaan. Kerana dengan perniagaan, kita mampu untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang halal lebih banyak.

Dengan perniagaan, kita mempunyai peluang untuk bersedekah dengan nilai yang lebih banyak. Dengan perniagaan juga, kita mempunyai masa yang lapang untuk menunaikan ibadat-ibadat wajib dan sunat.

Oleh kerana prinsip-prinsip ini, Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary dilihat sebagai usahawan Melayu Islam yang begitu menonjol di mata dunia. Justeru itu, mengamalkan tip-tip yang dikongsikan beliau ini dapat meningkatkan keyakinan kita untuk lebih berjaya dalam perniagaan.

Perniagaan yang diberkati, dan dirahmati Allah

Aqif Azizan merupakan pengarah & Front End Content Developer di Inovattic Solutions
Beliau merupakan penulis jemputan di blog ini.
Untuk melayari blog beliau, sila klik DISINI


10 Januari 2012

Kuasa kejayaan

Atas permintaan melalui emel saya, shahmar_5003@yahoo.com, saya akan menulis artikel mengenai kejayaan pula kali ini. Istimewa untuk anda semua.

Apabila disebutkan mengenai kejayaan, semua orang akan menganggap kejayaan itu ada apabila seseorang memiliki semua yang dimiliki. Kejayaan akan diperolehi sekiranya kita mampu. Kejayaan hanya untuk mereka yang bertuah sahaja. Sedarkah kita, kejayaan itu besar maknanya dan ia sebenarnya adalah untuk kita?

Mari saya kongsikan satu formula kejayaan.

Percaya
Anda perlu percaya kepada diri sendiri. Percaya kepada kemampuan diri adalah lebih baik berbanding kita mengangungkan orang lain. Tidak salah untuk menjadikan seseorang sebagai mentor. Tetapi sehingga merendah dan menidakkan keupayaan diri adalah salah.

Sebagai umat yang diajar dan diasuh dengan ilmu agama, kita sudah diberitahu mengenai proses mencapai kejayaan. Bagi yang benar-benar percaya kepada kemampuan diri, mampu mengubah nasib dan mencipta kejayaan. Kejayaan dicipta oleh diri kita sendiri, bukan orang lain.

Tukar pola berfikir
Jika sebelum ini kita selalu berfikiran negatif, sudah masanya kita menukar fikiran negatif tersebut menjadi positif. Buangkan perkataan 'tidak', 'malas', 'tidak mahu' dari dalam diri. Semua sifat negatif tersebut adalah racun berbisa yang kita tidak sedari.

Positifkan diri sendiri. Jangan meracun pemikiran anda dengan seribu satu alasan yang membataskan anda dari kejayaan anda. Kejayaan anda sudah ada dihadapan. Gapai ia.

Berusaha
Berusaha dengan cara yang bijak. Bukan berusaha secara membabi-buta. Manusia yang berjaya adalah mereka yang mengatur tindakan dan kejayaan mereka sejqak dari mula lagi.

Mari kita fikirkan. Sekiranya anda inginkan pendapatan sebanyak RM5000 sebulan, adakah anda hanya perlu duduk goyang kaki di tempat anda sekarang dan menunggu pendapatan tersebut apabila tibanya hujung bulan? Tiada hasil tanpa usaha. Jika inginkan sesuatu, kita perlu lakukan sesuatu.

Berjaya
Sentiasa berfikir akan kejayaan. Jangan pandang kebelakang. Jangan fikirkan kegagalan. Buangkan sifat gagal dari pemikiran anda. Sekiranya anda masih lagi berserah, pasrah dan mengharap kejayaan datang tanpa sekalipun anda 'berfikir' akan kejayaan tersebut, anda tidak akan mencapai kejayaan.

Orang yang berjaya sentiasa berfikir untuk berjaya.

Fokus
Sentiasa fokus dengan apa yang anda lakukan. Sesuatu perkara yang anda lakukan secara berterusan dan fokus, akan membuatkan anda seorang yang pakar dan menghasilkan kejayaan sepertimana yang anda inginkan.

Mereka yang fokus kepada sesuatu perkara atau bidang yang sama secara konsisten, dipanggil pakar bidang. Mahukah anda menjadi pakar bidang dan menjadi sumber rujukan? Sudah tentu jawapannya, YA. Teruskan usaha dan fokus kepada apa yang anda lakukan.

Semoga sukses selalu.

Shah Othman
013-4324936 | shahmar_5003@yahoo.com
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

07 Januari 2012

Kunci menjadi kreatif

Salam sejahtera, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kerana anda masih lagi menyokong saya meneruskan perkongsian ilmu melalui blog ini.

Untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi sesuatu yang saya perolehi melalui pembacaan saya.

Ramai yang mengetahui, seseorang yang berjaya adalah mereka yang dilihat berbeza dari orang lain. Mereka juga sering dilihat membuat keputusan yang tidak menyerupai orang lain disekeliling mereka. Dalam kejayaan mereka, tahukah kita, mereka berfikir secara kreatif bagi mengecapi kejayaan yang mereka peroleh itu?

Saya ambil contoh mendiang Steve Jobs yang memberi makna baru kepada dunia pengkomputeran. Sebelum jenama Apple digilai semula sejak zaman kegelapan mereka dahulu, kita semua tidak pernah terfikir akan adanya gajet berupa iPhone, iPod, iPad dan seumpamanya di pasaran. Kita juga tidak pernah terfikir akan mudahnya memuat-turun lagu-lagu kegemaran dari Internet.

Setelah munculnya gajet-gajet tersebut, barulah kita menyedari akan hal ini.

Tahukah kita, tanpa pemikiran kreatif seorang yang bernama Steve Jobs ini, kita semua tidak mampu merasai apatah lagi memiliki gajet-gajet tersebut?

Rahsia dalam pemikiran kreatif adalah sentiasa meneroka. Hanya melalui penerokaan, seseorang akan bertambah kreatif dan mampu menjadikan sesuatu yang dianggap biasa-biasa menjadi luarbiasa.

Dahulu, kita menganggap sebuah kedai kopi tidak jauh bezanya dari kedai kopi lain yang hanya menghidangkan kopi dan makanan seperti roti, telur rebus dan sarapan lain di pagi hari. Kini, melalui pemikiran kreatif yang sentiasa meneroka dan berinovasi, kita dapat melihat dipelusuk bandar-bandar kecil dan besar, kedai kopi bukan lagi hanya sebuah kedai kopi.

Tentu anda pernah duduk menghabiskan masa sambil minum kopi kegemaran anda di restoran Oldtown, Kapitan ataupun Kopitiam. Saya juga gemar menghabiskan masa ditempat-tempat seperti itu. Suasananya sudah tidak sama seperti kedai kopi biasa. Layanan mereka juga sudah ditahap lebih baik. Sambil menghirup kopi ice blended Mocha kegemaran saya, saya memuji-muji mereka disebalik wujudnya kedai kopi jenis ini. Cuma saya masih menunggu akan adanya seorang usahawan Muslim yang membuka kedai kopi seperti itu. Mungkinkah dalam masa terdekat ini saya akan berpeluang menghabiskan masa di kedai kopi seperti itu yang sepenuhnya milik Muslim? Hanya masa dan kreativiti tuan-puan yang akan menentukan segala-galanya, InsyaAllah.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

05 Januari 2012

Jendela Keusahawanan 2012 : Kuasa Masa

Artikel ini ditulis oleh Nazri Kadir

2012. Ada apa pada angka? Begitulah telahan yang selalu kita terima daripada ramai orang. Ada yang memandang mudah kepada angka dan ada yang terlalu obsess kepada angka. Sebagai seorang usahawan atau bakal usahawan. Angka memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan kita. Saban hari, seorang usahawan akan bermain-main dengan angka. Bukan sahaja dalam perkara berkaitan untung rugi perniagaan tetapi juga tentang pengurusan masa.

2012 yang sudah menjelma beberapa hari yang lalu menandakan peralihan masa sekali lagi dalam hidup kita. 2012 bukanlah sekadar angka yang menunjukkan tibanya tahun tertentu. Sebenarnya, ia berfungsi sebagai angka yang menerangkan kepada peralihan masa. Memandang serius peralihan masa yang dilalui oleh kita adalah satu perkara mustahak kepada seseorang usahawan. Ianya amat signifikan.

Oleh itu, kita pasti tertanya-tanya. Apakah signifikannya peralihan masa dengan dunia keusahawanan yang sedang kita lakukan sekarang ini?

Jawapannya-Signifikannya amat besar kerana peralihan masa adalah salah satu faktor yang memberi ruang dan peluang kepada warga usahawan merencanakan serta menyusun kembali apa yang telah dilalui oleh mereka pada tahun-tahun sebelumnya.

Secara tersiratnya pula, setiap usahawan yang mengambil berat tentang peralihan masa, bermakna mereka telah memiliki sebahagian dari ciri-ciri seorang usahawan Muslim yang memenuhi konsep Jutawan Al-Falah™.

Di mana, konsep keusahawanan Islam dan model Jutawan-Al Falah™ telah menggariskan bahawa masa adalah elemen terpenting menentukan keperibadian seseorang usahawan.

Seorang usahawan yang mengabaikan faktor masa dalam membangunkan perniagaannya pasti akan menemui jalan sukar untuk meraih kejayaan semaksimum mungkin seperti tokoh-tokoh usahawan lain yang telah mencapai kecemerlangan.

Ini kerana, mengabaikan masa menyebabkan seseorang usahawan menjadi tidak berdisiplin dalam rutin harian serta perancangan masa hadapan. Dia tidak dapat membezakan keperluan perubahan perniagaannya dari satu titik masa ke titik masa yang lain.

Dia juga akan menjadi seseorang yang tidak ambil berat tentang pengurusan masa keseluruhan organisasi yang dipimpin atau perniagaan yang dibangunkannya. Akibatnya, perniagaan yang dibinanya akan menemui kegagalan kerana kepentingan masa tidak didahului dalam merancang pembangunan perniagaan yang dijalankan.

Usahawan yang menjadikan Islam sebagai teras utama prinsip perniagaanya akan berjaya menjadikan dirinya sebagai seorang pengurus masa yang baik. Ini kerana, Islam amat menekankan kepada kepentingan masa dalam setiap aspek kehidupan manusia di muka bumi ini. Allah menjelaskan kepentingan masa di dalam Al Quran yang bermaksud :

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." Surah Al Asr :1-3

Melalui surah ini, para usahawan turut dapat memanfaatkannya sebagai garis panduan dalam menjadi pengurus masa yang seimbang dalam kehidupan. Antara garis panduan yang boleh diperolehi :

1. Ramai usahawan berada dalam kerugian kerana kegagalan mereka dalam membuat perancangan yang teliti akan perkara-perkara yang perlu dilakukan. Ini termasuklah dalam menguruskan masa yang setiap orang memilki 24 jam sehari tanpa mengira apa jua bidang pekerjaan mereka.

2. Allah mengingatkan para usahawan supaya sentiasa mendisiplinkan diri dalam membuat segala perkara agar kejayaan yang ingin dicapai membawa keberkatan dan kebahagiaan yang sejati. Disiplin diri usahawan yang tinggi akan memberikan kekuatan kepada para usahawan bukan sahaja dari segi konsisten dalam keimanan kepada Allah dan beramal soleh kepadaNya tetapi akan melatih diri usahawan untuk sentiasa konsisten dalam hal-hal pengurusan masa.

3. Kesabaran adalah kunci penting kepada seseorang usahawan dalam pengurusan masa. Boleh jadi, dengan menguruskan masa, kita mungkin akan rasa rimas dan tidak bebas melakukan sesuatu. Walhal, sebagai usahawan, kita bukan lagi seorang pekerja yang terikat dengan aturan masa. Hal ini, memerlukan kita untuk sentiasa bersabar dalam mematuhi aturan masa yang telah ditetapkan dan Allah telah mengingatkan bahawa dengan kesabaran. Kejayaan sejati akan dinikmati pada penghujungnya-Jutawan Al Falah™.

Tiga garis panduan di atas yang didasari dari Surah Al 'Asr itu sebenarnya sudah cukup untuk kita mengetahui dan memahami erti –Kuasa Masa. Usahawan yang dapat memanfaatkan Kuasa Masa akan berkemampuan mengoptimumkan perniagaannya dalam banyak perkara. Contohnya dari aspek pengurusan sumber manusia, pengeluaran produk dan servis, perakaunan dan kewangan, jualan dan pemasaran serta pengurusan sumber-sumber luaran.

Bayangkan betapa suksesnya kita sebagai seorang usahawan dengan berjaya mengoptimumkan pelbagai perkara hanya melalui pengurusan masa yang baik.

Penghujung bicara, Angka sebenarnya adalah Kuasa Masa dan Kuasa Masa bukan lagi satu perkara yang harus dibiarkan terpinggir di dalam kehidupan seorang usahawan. Artikel seterusnya, kita akan meluaskan lagi bicara Kuasa Masa dengan melihat lebih mendalam strategi-strategi yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan dalam membina sistem pengurusan masa yang efektif dan seimbang.

Salam Inspirasi

NazriKadir TRUMP

www.NazriKadirTrump.com


Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...