16 November 2011

Camera roll, Action!

Pernah dengar ayat 'camera roll, action!'?

Pada masa bagaimana saudara akan mendengar ayat sebegini? Tentu sekali semasa ada penggambaran filem, dimana pengarah akan meneriakkan kata-kata tersebut. Atau kadang-kala semasa kita masih diperingkat kanak-kanak, kita akan bermain dengan rakan-rakan sebaya seolah-olah kita sedang mengarah sebuah penggambaran filem. Saya tidak pernah bermain permainan sebegini. Tetapi, saya sering berkata begitu ketika menjalankan tugas sebagai juruvideo perkahwinan. Sehingga sekarang saya masih menjalankan perniagaan fotografi dan videografi.

Kali ini, saya nak berkongsi dengan saudara berkenaan 'ACTION'. Bagaimana action atau dalam bahasa yang selalu saya tafsirkan ialah TINDAKAN, boleh menjadi penggerak dalam perniagaan kita.

Sebagai seorang usahawan, kita sering kali perlu membuat perancangan dan keputusan bagi menggerakkan syarikat. Menghasilkan jualan ribuan ringgit adalah matlamat semua usahawan di dunia. Tiada usahawan yang menjalankan perniagaan tanpa mengharapkan keuntungan. Sekecil mana pun perniagaan yang saudara jalankan, keuntungan adalah matlamat. Betul?

Mari kita lihat kehebatan kuasa tindakan dalam perniagaan kita.

Saudara mempunyai produk yang baik, perancangan yang sempurna dan pasukan yang hebat. Segala promosi dirancang serta diurus dengan begitu baik sehinggakan tiada satu pun perkara yang tidak dimasukkan.

Selepas meneliti produk, perancangan yang diatur, kini tibanya masa yang kritikal iaitu membuat keputusan. Saudara sebagai pemilik syarikat harus membuat keputusan yang bijak. Kadang-kadang perlu melakukan solat sunat hanya untuk membuat satu keputusan penting kepada syarikat. Ianya bukan langkah mudah apabila syarikat saudara memperjudikan kewangan syarikat bagi sesuatu produk.

Pesaing saudara juga sedang bersiap-sedia memikirkan produk serta strategi baru bagi bersaing dengan produk saudara. Mereka mungkin sudah ternanti-nanti untuk melancarkan produk tersebut. Hanya menunggu masa yang sesuai. Saudara pula masih teragak-agak untuk membuat keputusan. Selang beberapa hari, pesaing saudara sudah melancarkan produk mereka dan lebih mengejutkan, produk mereka mempunyai ciri-ciri yang terdapat pada produk syarikat saudara. Mereka telah memasuki pasaran lebih awal dari saudara. Saudara terlewat membuat keputusan.

Boleh saudara bayangkan apa yang bakal terjadi?

Disini pentingnya TINDAKAN SEGERA. Kuasa tindakan mampu mengubah sepenuhnya perjalanan syarikat saudara. Kelewatan bertindak juga mengubah segala-galanya pada syarikat saudara.

Disini boleh saya katakan sekiranya kita bertindak pantas, kita akan mendapat ganjaran. Sekiranya kita masih ternanti-nanti, kita akan kehilangan.

Sama juga sekiranya kita menjual insurans. Saudara berjumpa prospek hampir setiap hari. Setiap hari juga saudara menerima penolakan dan alasan dari prospek. Saudara juga akan diberi janji oleh prospek untuk menghubungi saudara kembali. Sekiranya saudara hanya menunggu panggilan dari prospek, saudara tidak akan mendapat satu jualan pun. Tetapi sekiranya saudara bertindak lebih agresif dengan membuat panggilan susulan kepada prospek, peluang untuk saudara membuat jualan semakin cerah.

Orang yang bertindak adalah orang yang mampu menghasilkan sesuatu yang positif dalam hidup mereka.

Semoga saudara sukses selalu.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.


03 November 2011

Sederhana atau mewah?

Sudah menjadi kebiasaan kepada usahawan yang baru berkecimpung dalam dunia perniagaan ‘gelap mata’ dengan wang-ringgit. Tidak hairanlah kenapa ada perniagaan yang terpaksa ditutup selepas tiga tahun beroperasi. Gelap mata dengan pendapatan yang diterima setiap bulan. Semua ingin dibelanjakan.

Saya ingin bertanya kepada saudara, sebelum saudara berkecimpung dalam perniagaan, apakah matlamat utama saudara?

Percaya atau tidak ada yang member jawapan seperti ini,

- Ingin memiliki kebebasan kewangan

- tidak selesa bekerja makan gaji

- Ingin hidup mewah

- Mahu melancong ke luar negara

- Mahu beli apa sahaja

Bagaimana pula jawapan saudara? Adakah ada seperti yang saya senaraikan diatas? Jika ada, cuba saudara teliti kembali matlamat tadi. Bagaimana saudara berusaha untuk mendapatkan matlamat tersebut sehingga akhirnya saudara mampu memilikinya. Penat-lelah yang saudara keluarkan sebelum ini adakah berbaloi jika saudara laburkan untuk matlamat tersebut?

Mari saya beritahu saudara satu rahsia, ia berkenaan matlamat saya menjalankan perniagaan. Sebelum memulakan perniagaan, saya mempunyai matlamat untuk hidup mewah.Saya berusaha untuk mencapai kemewahan tersebut. Saya telah memiliki kemewahan yang saya idamkan hanya tidak sampai setahun. Tetapi kemewahan tersebut dating dalam bentuk wang-ringgit yang mudah dibelanjakan, ianya satu kesilapan besar bagi saya kerana saya mengamalkan kehidupan mewah sehingga menanggung hutang yang banyak.

Setelah lebih empat tahun dalam perniagaan, matlamat saya berubah. Kini matlamat jangka pendek saya ialah mendapatkan kehidupan yang sesuai dengan diri dan perniagaan saya. Manakala matlamat jangka panjang pula untuk mendapatkan keselesaan hidup kepada diri dan keluarga. Dalam masa yang sama, saya ingin menghantar ibubapa saya menunaikan fardhu haji suatu hari nanti, InsyaAllah.

Saudara Nampak sekarang? Apa yang saya ingin sampaikan ialah berkenaan gaya hidup dan cara kita membelanjakan wang ringgit hasil dari perniagaan yang kita jalankan. Sebanyak mana pendapatan yang kita perolehi, jika kita sentiasa mahukan kemewahan segera, ia tidak akan kekal lama. Sebaliknya, jika kita mempunyai matlamat kemewahan jangka panjang, InsyaAllah kita akan Berjaya mencapainya.

Kehidupan yang sederhana tidak melambangkan seseorang usahawan itu gagal atau tidak bijak berniaga. Jika kemewahan yang ditunjukkan pula tidak membawa erti usahawan tersebut seorang yang Berjaya dalam perniagaan. Mungkin kemewahan beliau hanya ‘pinjaman’ dari wang syarikat beliau sendiri.

Semoga saudara sukses selalu.



Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...