28 September 2011

Unique Selling Proposition

Faktor utama yang sering menjadi kegagalan sesuatu produk tidak berjaya dijual ialah persamaan produk dengan pesaing. Pelanggan tidak mempunyai sebab yang kuat yang mampu memaksa mereka membeli produk saudara. Semuanya kelihatan sama sahaja. Sekiranya ini berlaku, saudara perlu menonjolkan produk saudara berbeza dari pesaing. Caranya saudara perlu menjalankan perniagaan saudara berbeza berbanding para pesaing saudara.

Sedikit perbezaan yang dibuat pada produk atau perniagaan saudara mempu menonjolkan produk saudara di mata para pelanggan. Pelanggan akan lebih mudah tertarik dengan perbezaan yang ditonjolkan. Sekiranya saudara dapat menghasilkan sesuatu produk yang hanya saudara sahaja miliki, pelanggan tidak akan teragak-agak mendapatkan produk saudara.

Sebagai langkah membezakan produk saudara di pasaran adalah dengan mengenali dan mewujudkan Unique Selling Proposition (USP). USP ini yang akan menjadikan produk saudara berbeza dari produk lain dipasaran.

Untuk menghasilkan USP bagi produk saudara, saudara perlu kenali masalah yang dihadapi pelanggan dan mencipta produk yang boleh menyelesaikan masalah tersebut. Sebagai contoh, apabila memakai kasut kaki dan tumit sering sakit. Justeru, Dr.William Mathias Scholl telah mencipta satu penyelesaiaan kepada masalah ini. Sejak tahun 1904, Scholl telah menyelesaikan masalah kesihatan tumit dan kaki.

Produk yang mempunyai USP tinggi adalah produk yang dapat menyelesaikan masalah pelanggan. Pelanggan membeli mesin vakum hampagas kerana mahu rumah menjadi bersih bukan kerana ingin bersaing sesama jiran. Dengan adanya mesin vakum tersebut, masalah kebersihan rumah pelanggan sudah dapat diselesaikan.


Semoga sukses selalu.


Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.


21 September 2011

Saya seorang yang gagal...

Saya gagal, saya gagal, saya gagal!

Berapa kali saudara sudah ucapkan perkataan tersebut sepanjang hari dan sepanjang minggu ini? Berapa kali saudara berasakan saudara benar-benar seorang yang gagal?

Mahukah saudara menjadi seorang insan yang gagal? Gagal dalam perniagaan, gagal dalam rumahtangga, dalam kehidupan dan pelbagai lagi. Fikirkan dahulu kenapa saudara berasakan demikian.

Menjadi seorang yang gagal bukanlah penamat kepada usaha yang saudara lakukan selama ini. Ia adalah titik mula yang saudara perlu usahakan. Titik mula yang membawa gelombang baru dalam kehidupan saudara.

Tentu saudara pernah mendengar nama Michael E Gerber, beliau adalah penulis buku E-Myth. Menurut beliau, sepanjang hidupnya sebelum mengecapi kejayaan, beliau sering berasakan diri beliau sebagai seorang yang gagal. Gagal dalam berumahtangga, tidak mempunyai pekerjaan, tiada wang untuk kegunaan, hidup menumpang bersama abangnya.

Pada umur beliau sudah menjangkau 40-an, tiba-tiba beliau seperti tersedar. Beliau bukanlah gagal sepenuhnya. Ia seperti satu permulaan untuk beliau mencuba perkara baru dan mencipta kejayaan.

Sehingga kini, beliau sudah menjadi seorang penceramah bidang bisnes kecil yang terkenal. Beliau mengumpulkan semua pengalaman sebagai jurujual sepanjang 'zaman kegagalan' beliau untuk dikongsikan bersama.

Di Malaysia, adaseorang yang dahulunya gagal sehingga sekarang beliau berani untuk gagal. Orang yang saya maksudkan adalah Billi Lim. Sekiranya saudara membaca kisahnya dalam buku Berani Gagal, saudara akan dapat merasai ketekunan beliau bangkit dari kegagalan.

Pengalaman Dari Kegagalan

Usahawan yang berjaya bukanlah terus bermula dengan kejayaan. Bukit yang perlu didaki masih tinggi dan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Pendakian perlu diteruskan, semangat perlu diterapkan dan diri perlu dimotivasikan.

Saya suka membaca kisah mendiang Tan Sri Lim Goh Tong dalam bukunya Kisah Saya. Buku tersebut adalah buku berkaitan bisnes yang pertama saya beli. Masih ingat kata-kata seorang rakan semasa saya bekerja di sebuah pasaraya di Bukit Jambul, Pulau Pinang. "Hang nak jual apa, nak jual dadah?".

Dalam buku tersebut, mendiang menceritakan bagaimana beliau terlibat dalam bisnes dan bagaimana beliau sanggup melakukan kerja-kerja yang tidak sanggup dilakukan kebanyakan kontraktor lain. Peluang yang beliau ambil dan cipta. Dari gagal, beliau menjadi jutawan. Sehingga hari ini beliau masih lagi diingati ramai orang terutama apabila kita bercuti di Genting Highland.

Gagal bukanlah kayu pengukur kepada apa yang saudara sedang lakukan. Gagal bererti membuka peluang dan memberi pengalaman kepada diri kita.

Semoga sukses selalu.


Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.


19 September 2011

Penyimpanan Rekod

Sistem penyimpanan rekod adalah perkara terpenting dalam sesebuah perniagaan dan organisasi. Sebesar atau sekecil manapun perniagaan yang saudara jalankan, penyimpanan rekod memudahkan urusan dalam hal pentadbiran perniagaan saudara.

Sebagai contoh, saudara menjalankan sebuah perniagaan bengkel kimpalan besi. Saudara tidak mempunyai seorang pun staf dan berseorangan dalam menjalankan segala urusan perniagaan. Urusan seperti menerima tempahan, pembelian barang, pembayaran dari pelanggan sehinggalah pembuatan besi, semua saudara lakukan sendirian.

En Abu telah datang kepada saudara untuk membuat tempahan pintu pagar rumahnya. Segala ukuran dan spesifikasi yang dikehendaki oleh En. Abu saudara catatkan diatas sekeping kertas. Kertas tersebut di kepilkan bersama kertas-kertas lain dan disangkut pada paku di dinding bengkel saudara. Pada kertas itu tercatat nama En. Abu, alamat dan nombor telefon beliau.

Kemudian, satu hari saudara telah jatuh sakit dan perlu berehat beberapa bulan. Anak kandung saudara, Aziz telah mengambil-alih tugas mengimpal besi. Segala tempahan terdahulu disiapkan. Tetapi masalah lain pula timbul. Tulisan diatas kertas tersebut semakin pudar, kertas juga semakin lusuh dan harga yang dibincangkan tidak dicatat. Aziz terpaksa menghubungi pelanggan bagi mendapatkan kembali maklumat yang diperlukan.

Saudara juga seperti ingat-ingat lupa akan tempahan dari pelanggan. Hal ini menyukarkan lagi kerja-kerja Aziz amenyiapkan tempahan pelanggan. Pelanggan mula membuat persepsi negatif berkenaan perniagaan saudara. Perniagaan tersebut mula mengalami kemerosotan.

Tetapi sekiranya saudara membuat sistem penyimpanan rekod yang lebih baik dan tersusun, akan memudahkan kerja-kerja yang akan diambilalih orang lain.

Seperti mempunyai fail yang khusus untuk maklumat tempahan, pembelian stok mentah, inventori, akaun keluar masuk, akaun bank dan beberapa perkara yang difikirkan perlu.

Sistem penyimpanan rekod penting dan perlu dilakukan / diadakan supaya kerja lebih tersusun dan segala maklumat dapat disimpan dengan lebih kemas.


Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.


16 September 2011

Matlamat tanpa impian

Selamat hari Malaysia saya ucapkan kepada semua pembaca blog ini. Setiap tahun, kita di Malaysia akan menyambut hari penubuhan negara kita, iaitu pada 16hb September. Dikesempatan ini juga saya berdoa agar industri perniagaan diMalaysia akan berkembang lebih pesat lagi. Menjadi lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

Berkenaan topik kita kali ini, Matlamat tanpa impian.

Saudara, untuk memacu matlamat yang telah kita tetapkan, kita perlu mempunyai impian yang tetap agar ia akan terlaksana. Kita sebagai manusia mempunyai pelbagai impian dan keinginan. Keinginan inilah yang membuatkan segala impian tercapai.

Pernah saudara terfikir bagaimana sebuah kapal terbang dibina? Idea yang dicetuskan dari angan-angan oleh adik-beradik Wright iaitu Orville Wright dan Wilbur Wright. Mereka dapat mencipta sebuah kapal terbang dari angan-angan yang ditukar menjadi impian dan disertakan dengan matlamat. AKhirnya, pada 17 Disember 1903, kapal terbang yang dicipta oleh mereka terbang dengan berjaya.

Begitulah juga kita sebagai seseorang yang ingin menjadikan impian kita terlaksana. Perlu ada matlamat. Tanpa matlamat, kita diibaratkan seperti memandu kereta tanpa hala tuju. Memandu kereta dengan matlamat, akan membuatkan kita sampai ke destinasi dalam masa yang ditentukan. Tiada matlamat, kita tidak akan tahu bila impian tersebut akan menjadi realiti.

Menjadi seorang usahawan adalah pilihan yang besar dalam kehidupan. Saudara menetapkan sendiri jalan hidup dan hala-tuju saudara. Sekiranya sebelum ini saudara tidak menetapkan matlamat atau matlamat perniagaan saudara kurang jelas, mulai hari ini saudara tuliskan setiap impian dan matlamat saudara. Bukan sahaja untuk saudara yang menajdi usahawan, sekiranya saudara bekerja makan gaji juga boleh berbuat demikian. Yang penting, matlamat yang terfokus.

Semoga saudara sukses.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.


13 September 2011

Impian vs Angan-Angan

Sejenak saya berfikir, mengapa impian perlu diiringi oleh angan-angan? Mengapa pula angan-angan kemudiannya hanya tinggal angan-angan?

Berfikir sambil mencari jawapan, yang akhirnya akan menjadi satu angan-angan jika ianya hanya berada dibenak fikiran. Tanpa diluahkan dan dirancang, ia hanyalah gambaran akan sesuatu perkara yang tidak pasti.

Impian, menyamai keinginan yang sering kita tanamkan didalam minda separa sedar kita. Melafazkan setiap hari kata-kata yang sama, sehinggakan seperti impian sudah tercapai.

Bagaimana angan-angan yang hanya gambaran kosong mampu ditukar menjadi impian berisi?

Saudara, apabila seseorang mula berangan-angan, sebenarnya beliau telah memasang impian. Sekiranya kita mendengar seorang rakan memberitahu, aku ingin memiliki sebuah banglo empat tingkat beserta sebuah kereta Jaguar atau Ferrari, jangan terus menghukum rakan tersebut dengan kata-kata, "Berangan je la kau".

Kata-kata yang saudara lemparkan kepadanya mampu menghancurkan semua angan-angan dan impian beliau.

Begitu juga saudara, tatkala sudah yakin dengan impian, tiba-tiba datang seseorang kepada saudara dan berkata perkara yang sama seperti yang saudara katakan kepada rakan tadi, apa perasaan saudara ketika itu?

Tidak salah untuk berangan-angan, asalkan semua angan-angan disertakan dengan impian. Ditambahkan pula dengan matlamat dan perlu dicatat diatas sekeping kertas. Saudara perlu membacanya setiap hari supaya saudara tidak lupa akan impian tersebut.

Semoga saudara sukses.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.




12 September 2011

Impian setinggi bintang di langit

Berbicara mengenai impian, hampir setiap orang memiliki impian. Tidak kira besar mana impian mereka, mereka tetap menyimpian impian. Ada yang mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri, memiliki kereta baru sehinggakan ada yang mengimpikan mempunyai isteri baru. Impian setiap orang berbeza-beza.

Satu kunci utama untuk membuatkan setiap impian yang kita tetapkan menjadi kenyataan ialah tidak mempedulikan apa padangan negatif dari orang lain. Ramai yang akan memperlekeh usaha dan impian yang kita tanamkan. Sebagai contoh, sekiranya saudara berkata ingin mempunyai wang sebanyak RM1 juta dalam tempoh 5 tahun, akan terdapat suara-suara sumbang yang berkata saudara tidak akan mampu melakukannya dan melupakan segala usaha tersebut.

Setelah saudara memasang impian tersebut, seterusnya ialah fokus untuk merealisasikannya. Fokus bermakna saudara perlu sentiasa melakukannya. Seperti contoh yang saya berikan tadi, untuk mempunyai RM1 juta dalam tempoh 5 tahun, saudara perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM17,000 setiap bulan. Saudara perlu fokus untuk mendapatkan jumlah seperti yang ditetapkan dengan pelbagai cara.

Usaha ke arah impian harus lurus. Salah satu cara untuk sentiasa tetap kearah impian tersebut adalah dengan menanamkan impian tersebut ke dalam minda separa sedar (subconcious mind) kita setiap hari. Tapi, jangan sampai ada yang mengatakan saudara gila.

Memberi arahan kepada minda separa sedar perlu dibuat pada waktu tenang dan waktu malam adalah yang paling sesuai. Sebagai contoh, setiap malam sebelum tidur, saudara membacakan impian saudara beberapa kali dan lafazkan juga kata-kata "aku sudah memiliki wang RM 1 juta". InsyaAllah, minda separa sedar akan 'memaksa' kita bekerja lebih kuat dan tekun bagi mendapat impian tersebut.

Semoga saudara semua mencapai impian yang diingini.

*RM1 juta yang saya sebutkan hanya sebagai contoh yang digunakan untuk menerangkan proses menanam impian.


Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.




08 September 2011

Hebatkah masa saudara?


Bila bercakap mengenai masa, ramai yang akan berkata kepada saya, mereka telah mengatur masa sebaik mungkin. Begitu juga saya. Masih lagi teringat semasa usia awal 20-an, ketika zaman mula bercinta, saya selalu tegur ibu saya kerana kerap mengajak saya pulang ke kampung tanpa memberitahu perancangan tersebut terliebih dahulu.

Saya beritahu ibu saya, saya dah merancang perkara lain pada hari tersebut. Lain kali kena membuat perancangan lebih awal. Walaupun saya tahu, ibu dan ayah saya telah merancang sejak beberapa hari sebelumnya. Namun, sikap ibu saya yang tidak suka memberitahu perancangan lebih awal, membuatkan saya agak marah.

Kini, saya nak mengajak saudara pula untuk benar-benar merancang jadual harian saudara.

Seorang usahawan amat menghargai setiap jam yang ada. Sejak dari awal pagi sehinggalah larut malam. Jika saudara perasan, saudara juga mungkin begitu. Namun adakah setiap jam yang ada benar-benar digunakan sebaik mungkin?

Cuba kita lihat balik beberapa jam sebelum saudara membaca blog ini, apa yang saudara lakukan? Mungkin ada yang baru lepas makan tengahari, baru selesai membeli-belah dan mungkin ada yang baru pulang dari berjumpa rakan-rakan dikedai kopi.

Saya tidak mahu katakan apa yang saudara lakukan sepanjang hari benar atau salah. Saya cuma mahu saudara lihat kembali mana satu perkara yang saudara lakukan adalah sesuai mengikut jam yang ada.

Cuba saudara senaraikan jam mengikut seperti yang saya catatkan dibawah;
8.00 - 9.00
9.00 - 10.00
10.00 - 11.00
11.00 - 12.00
12.00 - 1.00
1.00 - 2.00
2.00 - 3.00
3.00 - 4.00
4.00 - 5.00
5.00 - 6.00
6.00 - 7.00
7.00 - 8.00
8.00 - 9.00
9.00 - 10.00

Sekarang tuliskan pula disebelahnya apa yang saudara lakukan pada setiap jam. Senaraikan mengikut apa yang benar-benar saudara lakukan tanpa perlu berhenti seketika untuk memikirkan perkara yang sudah saudara lakukan.

Berikutnya, saudara catatkan pula dari skala 1 - 5 yang mana lebih penting. 1 bagi aktiviti yang paling tidak penting, 5 adalah untuk perkara yang penting dan berbaloi dilakukan.

Selepas saudara membuat catatan berikut, semak. Kemudian, saudara akan dapat melihat yang mana penting dan mana tidak. Rancangkan kembali jadual harian saudara mengikut kepentingan tersebut.

Usahawan / individu berjaya menggunakan sebaik mungkin setiap jam yang ada.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.




05 September 2011

Terima kasih pelawat


Terima kasih saya ingin ucapkan kepada semua pelawat blog ini. Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya.

Sejak saya membeli ruang iklan di beberapa laman di internet, pengunjung semakin bertambah, motivasi saya untuk terus menulis tips motivasi dan perniagaan kepada semua.

Saya juga berharap dengan adanya blog ini, akan terlahir lebih ramai usahawan. Tidak kira kecil atau besar perniagaan yang saudara jalankan, saudara adalah usahawan.

Terima kasih sekali lagi saya ucapkan.

04 September 2011

Melihat pesaing sebagai bukan pesaing

Dalam dunia perniagaan, kita tidak boleh lari dari pesaing. Sebut sahaja apa jenis perniagaan yang dijalankan, semuanya mempunyai pesaing. Walaupun saudara menjalankan perniagaan menjual nasi lemak di tepi jalan, saudara juga mempunyai pesaing.

Saya sering melihat banyak perniagaan yang jatuh kerana tidak mampu menghadapi persaingan. Ada yang sudah menjalankan perniagaan hampir 10 tahun, hanya dek tak mampu bersaing, mereka terus menyerah kalah. Membiarkan pesaing mereka ketawa dan terus mengumpulkan kekayaan wang ringgit.

Pesaing sebenarnya bukanlah orang yang sengaja mahu kita gulung tikar. Mereka juga mencari rezeki untuk menyara keluarga dan mencapai tahap bebas kewangan sepertimana saudara. Sepatutnya saudara perlu melihat pesaing sebagai pendorong yang akan mendorong perniagaan sudara lebih maju berbanding pesaing saudara.

Persaingan yang positif apabila saudara mampu berada 10% - 20% lebih hadapan daripada pesaing. Sebagai contoh, jika pesaing saudara dapat menghasilkan jualan RM2000 pada hari tersebut, saudara perlu menghasilkan jualan sehingga RM2200 - RM2500. Ini adalah persaingan yang positif.

Pesaing adalah penggalak untuk kita sebagai ahli perniagaan. Mereka mencabar kita untuk menjadi lebih baik. Mungkin selama ini kita terlepas pandang dari segi kualiti dan jenama yang ada pada perniagaan kita. Mungkin ia juga merupakan penyebab kenapa perniagaan kita tidak berkembang. Dengan adanya pesaing, kita dapat menaiktaraf kualiti dan penjenamaan perniagaan dan diri kita.

Melihat pesaing sebagai bukan pesaing adalah satu perkara yang agak sukar. Tapi saudara boleh lakukan sekiranya saudara mempunyai sifat-sifat berikut;
  • positif
  • berfikiran terbuka
  • sentiasa ingin berevolusi
  • tidak berputus asa
  • mampu menukar perkara negatif menjadi penjana wang
  • tidak mempercayai perbuatan syirik dan kurafat seperti bomoh
Saya berharap, lebih ramai yang menjalankan perniagaan akan lebih berkembang dengan adanya persaingan, bukan terus menguncup dan gulung tikar.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.




03 September 2011

Apa yang menjadikan jutawan seorang jutawan?

Mungkin saudara pernah tertanya, 'apa yang menjadikan seseorang jutawan'? Tentu sekali antara jawapan yang saudara perolehi adalah
  • Kerja keras
  • Nasib baik
  • Bijak melabur
  • Ramai kenalan (networking) yang bagus
  • Berdisiplin
sebenarnya, banyak jawapan yang saudara akan temui, dan tidak semua jawapan yang saudara dapat adalah benar. Mungkin ada yang hanya betul 70% atau 90%. Bagi saya, semua jawapan yang saudara temui adalah benar.

Tetapi tahukah saudara, seorang jutawan yang menjalankan perniagaan akan memegang prinsip kebolehpercayaan sebagai pegangan utama.? Dalam erti kata lain, mereka membina integriti pada diri mereka seperti mereka menjalankan perniagaan mereka yang bernilai berbilion-bilion ringgit tersebut.

Kebolehpercayaan yang ada pada diri mereka menjadikan ramai pelanggan dan pelabur yang berani melabur dan mendapatkan servis mereka. Dalam perniagaan, kepercayaan ini menjadi tunggak utama kepada pengekalan dan teguhnya perniagaan. Tanpanya ibarat pohon yang tidak disiram, semakin lama ia akan semakin layu.

Warren Buffet pernah berkata, untuk membina nama yang baik memerlukan masa 20 tahun, tetapi hanya perlukan masa 5 minit untuk merosakkannya.

Kita sudah faham bagaimana seorang usahawan seperti kita mampu menjadi jutawan yang mampu menjana pendapatan mencecah billion dalam tempoh masa yang singkat.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...