30 Disember 2011

Apa yang Menyebabkan Usahawan Itu Kaya dan Berjaya?

Ditulis oleh Aqif Azizan

Setiap buku berkenaan perniagaan ditulis oleh penulis yang berbeza-beza latar belakangnya. Ada yang ditulis oleh golongan yang mempunyai pencapaian akademik tertinggi, tetapi tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam perniagaan.

Mereka hanya berlandaskan analisis, kajian dan sebagainya bagi menyampaikan maklumat kepada pembaca.

Bagi seorang usahawan yang menulis buku, konsepnya pula berbeza-beza. Sebagai contoh, bilionair dunia, Bill Gates menekankan konsep melakukan perkara yang kita minat untuk membina perniagaan yang berjaya.

Manakala Donald Trump pula sentiasa menekankan konsep supaya pembaca mempunyai impian yang besar untuk berjaya dalam perniagaan.

Minat dan mempunyai impian yang besar. Satu konsep yang jelas berbeza.

Situasi ini secara tidak langsung mengelirukan para pembaca yang menjadikan buku sebagai medium ilmu untuk memulakan perniagaan.

Kita tertanya-tanya, apakah rahsia utama kejayaan para usahawan hebat seperti mereka berdua ini?

Mempunyai minat yang mendalam dan juga berimpian besar adalah langkah yang perlu didalami oleh individu, tetapi bukan perniagaan. Dalam perniagaan, terdapat satu perkara utama yang dapat menjadikan seorang usahawan itu kaya dan berjaya.

Perkara itu adalah...

Pelanggan – Nadi, Nafas, dan Segalanya Untuk Bisnes

Menurut Wikipedia, pelanggan adalah golongan individu yang berpotensi untuk mengeluarkan duit daripada poket mereka untuk membeli produk. Dalam perniagaan, pelanggan adalah kuasa dan segala-galanya.

Ini kerana pelanggan yang memberikan wang kepada bisnes kita. Dengan wang, maka bisnes kita akan mempunyai aliran tunai. Aliran tunai ini yang akan menentukan sama ada perniagaan kita mampu bertahan atau bungkus awal.

Secara asasnya, setiap perniagaan memerlukan pelanggan. Kajian mendapati kegagalan sesebuah perniagaan itu berpunca daripada kekurangan pelanggan yang terus membeli produk atau servis yang ditawarkan.

Kenal Pasti Siapa Pelanggan Kita

Sebagai seorang usahawan dan pemilik perniagaan, kajian paling penting sebelum kita memulakan bisnes adalah mengenal pasti siapa pelanggan kita.

Perniagaan menjual ikan hanya memerlukan pelanggan yang mahukan ikan sahaja. Perniagaan penerbitan buku hanya memerlukan pelanggan yang inginkan buku sahaja. Apabila kita mengenal pasti siapa pelanggan, maka kita lebih jelas tentang keperluan mereka.

Dengan mengetahui keperluan mereka, mudah untuk kita menjual produk dengan lebih berkesan berkali-kali.

Contohnya, kita memiliki perniagaan butik pakaian muslimah. Manakala pelanggan kita adalah golongan wanita yang berusia 16 tahun hingga 30 tahun. Golongan yang berumur 16 tahun ini biasanya akan mengikut trend pemakaian tudung dan baju muslimah individu berpengaruh khususnya artis.

Justeru itu, kita dapat melakukan kajian trend menerusi gaya pakaian artis muslimah, televisyen, situasi semasa dan sebagainya.

Manakala bagi mereka yang berumur 27 tahun hingga 30 tahun, rata-rata mereka lebih suka memakai tudung dan baju muslimah yang lebih kemas, simple dan elegan. Golongan seperti ini jarang mengikuti trend pemakaian semasa.

Berdasarkan penerangan di atas, kita dapat lihat kepentingan memahami pelanggan supaya perniagaan kita lebih cepat maju dan menghasilkan banyak jualan. Apabila kita menjual sesuatu yang pelanggan perlukan, maka ketika itu pelanggan yang akan mencari-cari perniagaan kita.

Lebih Banyak Pelanggan Membeli, Lebih Kaya Perniagaan Itu

Formula dalam perniagaan adalah mudah. Lebih banyak pelanggan membeli, lebih tinggi hasil jualan perniagaan kita.

Untuk mempengaruhi pelanggan membeli, tugas kita adalah menyediakan produk yang mereka perlukan. Situasi ini berlaku pada sekecil-kecil bisnes hingga bisnes gergasi seperti Microsoft, Google, Air Asia dan sebagainya.

Oleh sebab itu syarikat-syarikat besar sanggup melaburkan sejumlah wang yang besar untuk mengenali bakal pelanggan mereka dengan lebih mendalam.

Para usahawan hebat yang membaca artikel ini, adakah kita sudah mengenal pasti siapakah sebenar-benarnya pelanggan bisnes kita?

Aqif Azizan merupakan pengarah & Front End Content Developer di Inovattic Solutions
Beliau merupakan penulis jemputan di blog ini.
Untuk melayari blog beliau, sila klik DISINI


29 Disember 2011

Punca Gagal Dalam Bisnes

Tentu saudara ingin mengetahui punca-punca kegagalan seseorang usahawan dalam bisnes. Perkara yang menjadi penyebab kejatuhan sesuatu bisnes.

Kegagalan dalam bisnes adalah igauan ngeri setiap usahawan. Tidak terkecuali usahawan yang sudah membuat pendapatan jutaan ringgit setahun atau sebulan. Kegagalan dalam bisnes boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Ia umpama virus yang terbang bebas diudara. Sekali ia hinggap di badan saudara, ia akan merosakkan sistem didalam badan tersebut. Seterusnya, segala sistem akan lumpuh.

Disini saya senaraikan lima perkara yang menjadi punca kegagalan dalam bisnes.

1. Tidak tetap pendirian

2. Mengaggap diri sudah pandai

3. Malas

4. Gagal merancang

5. Ego

Lima perkara diatas hanyalah sebahagian punca kegagalan seseorang usahawan dalam perniagaan. Masih terdapat banyak lagi punca kegagalan yang ditakuti usahawan, tetapi sering dilakukan mereka. Malah ia sering berulang setiap hari tanpa mereka menyedari.

Tidak tetap pendirian

Pendirian yang tidak tetap dan sering berubah-ubah menyebabkan mereka tidak fokus kepada sesuatu perkara yang dilakukan. Sekiranya mereka mempunyai perancangan sedia-ada, mereka tidak melaksanakannya, malah dengan segera menukar perancangan.

Sebarang pendirian atau perancangan yang dilakukan, harus dilaksanakan sehingga mencapai kejayaan. Ia tidak boleh terhenti begitu sahaja. Setelah mencapai keputusan dari perancangan tersebut, samada berjaya ataupun tidak, barulah boleh ditukar kepada perancangan lain yang lebih baik.

Menganggap diri sudah pandai

Ini adalah penyakit biasa yang dialami ramai usahawan, terutama kepada usahawan baru. Mereka menganggap mereka sudah tahu dan pandai menjalankan perniagaan. Mereka menganggap mereka dapat mentadbir perniagaan tersebut tanpa bantuan orang lain.

Terimalah hakikat, sesebuah perniagaan yang berjaya tidak dijalankan secara sendirian. Ada rakan kongsi atau ada pekerja yang setia membantu sehingga perniagaan tersebut berjaya. Jangan malu mengaku jika kita tidak tahu akan sesuatu perkara. Carilah ilmu selagi terdaya. Berkongsilah dengan usahawan yang terlebih dahulu mencapai kejayaan.

Malas

Semasa saya bersekolah di kampung, guru saya sering memberi peringatan berkenaan sifat malas ini. Malas adalah punca utama segala yang dirancang tidak mencapai seperti mana yang dirancang. Segala impian tidak akan tercapai sekiranya seseorang itu malas.

Untuk mencapai kejayaan seperti yang diingini, sifat ini perlu dikikis. Terapkan disiplin dalam diri. Ubah dari dalaman sehingga luaran. Sekiranya berjaya, saudara sudah mengatur langkah menuju kejayaan.

Gagal merancang

Saya pernah membincangkan perkara ini suatu masa dahulu. Usahawan yang gagal dalam bisnes, adalah usahawan yang gagal merancang kejayaan beliau. Beliau gagal menetapkan matlamat kejayaan. Tiada fokus dalam mencapai kejayaan.

Perancangan kejayaan perlu bermula dari sebelum hari pertama menjalankan bisnes. Ia perlu dirancang seperti mana saudara merancang jadual saudara sehari-hari. Perancangan kejayaan bukan sahaja perlu dirancang, malah perancangan harian juga sebahagian dari perancangan kejayaan tersebut. Buatlah perancangan perkara apa yang saudara akan lakukan setiap hari.

Ego

Sifat ini terdapat dalam diri setiap manusia. Kekuatan sifat ego ini mampu meruntuhkan sebuah empayar yang besar. Keruntuhan empayar Parsi adalah kerana sifat ego rajanya. Keruntuhan rumahtangga adalah kerana sifat ego si suami.

Usahawan yang berjaya tidak meletakkan sifat ego sebagai sifat utama dirinya. Malah mereka mengenepikan terus sifat ini. Mereka sentiasa tanamkan sifat rendah diri. Seperti resmi padi, makin berisi, makin menunduk.

Semoga sukses selalu

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.


28 Disember 2011

Penulis Jemputan

Selamat menikmati minggu terakhir tahun 2011 yang hebat ini. Semoga tahun 2012 lebih hebat berbanding tahun 2011. Juga semoga perniagaan saya dan saudara bertambah maju. Amin.

Kali ini saya tidak mempunyai entry berkaitan pernigaan, hanya ingin memaklumkan kepada saudara semua, bermula 2012, blog ini akan mengundang beberapa pebulis jemputan untuk menyiarkan artikel mereka.

Segala artikel berkisar mengenai perniagaan. Tip-tip dan teknik menjalankan perniagaan akan dikongsi di blog ini. Perkembangan ini bertujuan menambah lagi ilmu dan kemahiran perniagaan supaya kita sama-sama menjadi usahawan yang terbilang.

Jika saudara juga berminat menjadi penulis jemputan, boleh emelkan kepada saya artikel untuk penilaian. Emel saya, shahmar_5003@yahoo.com

Kriteria artikel;
  • Tidak memesongkan aqidah (berlandaskan syariah)
  • Tidak memasukkan isu-isu politik
  • Mempunyai info yang berguna, bukan sekadar penulisan kosong
  • Bebas dari royalti dengan pihak lain.
  • Tidak kurang dari satu muka surat bersaiz A4, 1.15.
  • Berbahasa Melayu yang mudah difahami.
Setiap artikel akan dibayar.

Semoga saudara sukses selalu.

20 Disember 2011

Komited dalam menjalankan sesuatu kerja

Terima kasih saya ucapkan kepada saudara semua yang mash lagi mengikuti blog saya ini. Walaupun saya sudah jarang-jarang menulis sekarang. Tapi, demi mahu berkongsi kisah suka-duka dan strategi menjalankan perniagaan, saya masih lagi disini.

Kali ini saya ingin bercerita menganai komited. Kisah yang penting yang mendorong kita menjadi seperti apa yang kita mahukan sekarang.

Dalam usaha mencapai kehendak dan kejayaan yang diidamkan, kita perlu komited terhadap sesuatu perkara atau pekerjaan yang dilakukan.

Komited sama juga seperti menetapkan matlamat dan berusaha mencapainya. Dengan penetapan matlamat dan usaha, kita boleh mencapai sesuatu yang diinginkan. Seperti ingin memiliki harta bernilai RM20 juta dalam tempoh 2 tahun atau ingin memiliki badan yang langsing bak peragawati dalam tempoh 3 minggu. Semua iti tidak mustahil, kerana itu adalah matlamat saudara dan saudara berusaha mencapainya. Tetapi seteguh mana saudara komited terhadap perkara tersebut?

Jika diselak-selak Kamus Dewan, komited bermaksud 'mempunyai atau menunjukkan komitmen (terhadap sesuatu)'. Dari maksud perkataan ini juga kita sudah boleh membayangkan apa yang perlu dilakukan. Saudara perlu menunjukkan komitmen kalau tidak kepada pihak ketiga, kepada diri sendiri. Memperlihatkan komitmen yang saudara fokus melakukan sesuatu sehingga mendapat keputusan yang diingini.

Dalam perniagaan, sekiranya saudara tidak komited melakukannya, saudara boleh hilang tumpuan. Malah saudara boleh kehilangan semua wang modal dan keuntungan yang saudara miliki sebelum ini.

Saya juga pernah kehilangan sifat ini. Saya tidak komited melakukan perniagaan yang saya jalankan. Semuanya saya lakukan sambil lewa. Saya menangguh pekerjaan yang perlu disiapkan. Akhirnya sikap ini memakan diri sendiri apabila perniagaan saya mulai merosot. Pada ketika inilah saya mula mengetahui, saya sudah tidak seperti dulu. Saya tidak komited menjalankan perniagaan. Saya bersyukur saya sedar awal sebelum pergi lebih jauh. Saya kembali memberikan sepenuh perhatian dan komited dalam melakukannya.

Memang perkara ini remeh bagi sesetengah orang. Tetapi bagi ahli perniagaan, perkara ini besar natijahnya jika diabaikan. Sifat-sifat sebagai seorang yang komited perlu ada dalam diri setiap ahli perniagaan. Sifat ini yang akan membantu seseorang ahli perniagaan supaya lebih berjaya lagi. Tidak ada ruginya saudara menyembunyikan sikap ini.

Semoga saudara sukses selalu...

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.


10 Disember 2011

Fast Action, Fast Result


Terima kasih kerana sudi membaca blog saya ini saban hari. Saudara semua adalah orang hebat.

Kali ini saya ingin bercerita mengenai tabiat orang hebat yang telah berjaya seperti saudara.

Perkara penting yang menjadi penarik pelanggan mendapatkan produk dan sevis dari saudara adalah kepantasan saudara membekal dan menyediakan produk dan servis. 90% pelanggan akan berasa tidak selesa apabila produk atau servis yang mereka inginkan lambat disediakan. Mereka akan beralih kepada pesaing saudara yang lain.

Saudara pernah terfikir kenapa restoran-restoran makanan segera mendapat sambutan walaupun makanan yang mereka sediakan dikatakan tidak baik untuk kesihatan? Kerana faktor kepantasan mereka menyediakan tempahan pelanggan menjadi daya penarik.

Saya sendiri menjadi pelanggan restoran-restoran manakan segera kerana tidak suka menunggu untuk suatu jangkamasa yang lama bagi mengisi perut. Ditambah pula dengan jadual harian yang kadangkala memaksa saya makan semasa didalam kereta.

Saya ingin bertanya saudara, pernahkah saudara terjumpa dengan mana-mana usahawan atau peniaga yang memberikan perkhidmatan yang lambat? Apa yang berlaku kepada beliau selepas ramai pelanggan berurusan dengan beliau? Saya berani mengatakan lebih 50% pelanggan beliau yang tidak berpuas-hati. Lagi 50% ada yang tidak kisah dan ada pula yang berurusan dengan beliau kerana tiada pilihan lain.

Poin penting disini ialah, untuk mendapatkan jualan yang banyak, pelanggan yang ramai, saudara harus bergerak lebih pantas dari sekarang. Saya tahu saudara sudah bergerak pantas, tetapi saya seru saudara untuk menambah lagi kelajuan saudara. Lebihkan lagi kepantasan saudara. Sekiranya sebelum ini saudara memandu dengan kelajuan 100 km/j, sekarang tambahkan lagi menjadi 150 km/j. Jangan risau, tiada pihak berkuasa yang akan menyaman saudara kerana kepantasan saudara menyediakan produk dan perkhidmatan yang pantas dalam perniagaan.

Tindakan yang pantas memberikan pulangan yang pantas juga. Semakin pantas saudara membuat tindakan, semakin pantas wang masuk ke akaun saudara.

Jika minggu ini saudara berurusan dengan pelanggan, pastikan minggu ini juga pelanggan saudara mendapat hasilnya. Kemudian barulah saudara pula yang mendapat hasil.

Dunia perniagaan sekarang tidak menunggu untuk pelanggan datang mencari saudara. Semakin saudara menunggu pelanggan datang kepada saudara, semakin terlepas peluang yang saudara ada. Cari peluang, jangan hanya menunggu. Menunggu peluang dalam perniagaan sudah lapuk. Jika 20 tahun dahulu para usahawan boleh menunggu peluang, sekarang peluang perlu dikejar dan ditangkap. Hanya yang pantas sahaja yang akan dapat menangkap peluang tersebut.

Seperti yang saudara Fathuallah sebutkan dalam buku Rahsia Menambat Hati Pelanggan beliau, Fast Action Target Hit. Beliau menyeru semua usahawan untuk bergerak pantas. Tidak boleh leka dalam melakukan urusan perniagaan. Setiap minit yang kehilangan ibarat seperti wang yang mengalir keluar. Tentu saudara tidak mahu wang saudara keluar tanpa sebarang pulangan, bukan?

Semoga saudara sukses selalu.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...