13 Januari 2012

7 Tip Kejayaan Bisnes dan Motivasi Syed Mukhtar Al Bukhary

Ditulis oleh Aqif Azizan

Sejak dari kecil, beliau sudah memahami betapa pentingnya erti kejayaan dalam kehidupan.

Kejayaan yang akan mengubah hidup diri serta keluarganya. Yakni mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan. Seterusnya menjadikan diri sebagai seorang usahawan kaya dan berjaya.

Beliau adalah Tan Sri Syed Mukhtar Al Bukhary.

Seorang usahawan Melayu yang cukup dikenali di mata masyarakat.

Kisah kejayaan beliau menjadi inspirasi kepada golongan para usahawan. Namun apakah rahsia kejayaannya? Apakah prinsip kehidupan yang dipegang oleh Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary dalam perniagaannya?

Berdasarkan analisis yang dikongsikan oleh beliau sepanjang kehidupannya berniaga, terdapat 7 tip kejayaan yang penting untuk diamalkan oleh para usahawan iaitu:

#1 – Usaha dan Tekun, Serta Sedar Ia Memakan Masa

Kejayaan itu prinsip asasnya adalah usaha. Setiap usaha pula memerlukan fokus, yakni membawa maksud kepada ketekunan. Hanya orang yang tekun sahaja mempunyai peluang untuk berjaya dalam perniagaan.

Dalam masa sama, usahawan perlu sedar tentang faktor masa. Dalam perniagaan, masa untuk memperoleh kejayaan yang diinginkan adalah berbeza-beza.


#2 – Mengenali Kekuatan dan Kelemahan Diri

Usahawan yang hebat lagi berjaya adalah mereka yang jelas tentang kekuatan dan kelemahan diri. Kekuatan itu digunakan untuk memacu perniagaan ke tahap yang lebih baik. Dalam satu kajian yang dibuat, usahawan yang menggunakan kekuatan mereka untuk membangunkan perniagaan bukan sahaja mudah untuk berjaya.

Malah mereka akan mencapai tahap hidup yang bahagia dan kepuasan terhadap perniagaan yang dibangunkannya.

Buku Now Discover Your Strength yang ditulis oleh Mack Buckingham adalah buku rujukan yang bagus untuk para usahawan mengenal pasti apa kekuatan dalam diri mereka.

Manakala para pekerja atau rakan niaga boleh digunakan bagi mengatasi kelemahan diri.


#3 – Tidak Ada Jalan Singkat Dalam Perniagaan

Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary sering menyatakan, kejayaan dalam perniagaan tidak mempunyai jalan singkat. Setiap laluan dalam perniagaan yang kita pilih, mempunyai cabaran dan dugaan yang tersendiri.

Tambah beliau, orang yang lemah akan mengaku kalah. Bagi usahawan yang memiliki jiwa dan semangat yang kental, mereka akan menganggap setiap perjalanan itu sebagai pengalaman yang mengajar, untuk menjadi seorang pemilik bisnes yang lebih baik.

#4 – Kemewahan Bukan Motivasi Bisnes

Kereta besar, rumah besar, jam tangan mahal dan material-material mahal bukan faktor utama kejayaan usahawan.

Ia hanya menjadi salah satu daripada hadiah untuk membangkitkan motivasi dan meningkatkan estim diri. Kesilapan usahawan yang memulakan perniagaan untuk hidup mewah, akan membawa mereka kepada lembah hutang yang tidak berkesudahan.

Selain daripada Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary sendiri yang mengakui tentang isu ini, lagenda dunia teknologi dan gajet, Steve Jobs turut menyatakan,

“Perniagaan itu akan lebih berjaya dan hebat apabila kita melakukan apa yang kita cintai. Bukan tertakluk pada kemewahan semata-mata.”

#5 – Pangkat Dunia Juga Bukan Motivasi Perniagaan

Adakah kita berniaga kerana mahu memegang jawatan atau pangkat yang tinggi dalam syarikat?

Semua itu tidak mustahil. Namun kepuasan yang sebenar tidak bergantung pada ia semata-mata. Menurut beliau, sebab-sebab usahawan itu berjaya terletak pada:

· Keinginan yang kuat untuk hidup bebas.

· Ingin mencapai matlamat bebas kewangan.

· Ingin mengubah dunia menjadi lebih baik.

· Ingin mengisi jawapan kepada masalah yang dihadapi masyarakat.

#6 – Kejayaan Bisnes Itu Adalah Rezeki Allah

Walau apa jua cara yang kita usahakan dalam perniagaan, matlamat utama kita sebagai usahawan (khususnya yang beragama Islam) adalah mengingati bahawa setiap rezeki yang diturunkan itu adalah milik Allah.

Justeru itu, apabila kita memperoleh kejayaan walaupun kecil, ucapkan syukur dan lakukan kebajikan mengikut kemampuan agar kita memperoleh lebih banyak punca rezeki.


#7 – Berbisnes Kerana Agama

Dalam Islam, agama ini menuntut penganutnya untuk melakukan perniagaan. Kerana dengan perniagaan, kita mampu untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang halal lebih banyak.

Dengan perniagaan, kita mempunyai peluang untuk bersedekah dengan nilai yang lebih banyak. Dengan perniagaan juga, kita mempunyai masa yang lapang untuk menunaikan ibadat-ibadat wajib dan sunat.

Oleh kerana prinsip-prinsip ini, Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary dilihat sebagai usahawan Melayu Islam yang begitu menonjol di mata dunia. Justeru itu, mengamalkan tip-tip yang dikongsikan beliau ini dapat meningkatkan keyakinan kita untuk lebih berjaya dalam perniagaan.

Perniagaan yang diberkati, dan dirahmati Allah

Aqif Azizan merupakan pengarah & Front End Content Developer di Inovattic Solutions
Beliau merupakan penulis jemputan di blog ini.
Untuk melayari blog beliau, sila klik DISINI


10 Januari 2012

Kuasa kejayaan

Atas permintaan melalui emel saya, shahmar_5003@yahoo.com, saya akan menulis artikel mengenai kejayaan pula kali ini. Istimewa untuk anda semua.

Apabila disebutkan mengenai kejayaan, semua orang akan menganggap kejayaan itu ada apabila seseorang memiliki semua yang dimiliki. Kejayaan akan diperolehi sekiranya kita mampu. Kejayaan hanya untuk mereka yang bertuah sahaja. Sedarkah kita, kejayaan itu besar maknanya dan ia sebenarnya adalah untuk kita?

Mari saya kongsikan satu formula kejayaan.

Percaya
Anda perlu percaya kepada diri sendiri. Percaya kepada kemampuan diri adalah lebih baik berbanding kita mengangungkan orang lain. Tidak salah untuk menjadikan seseorang sebagai mentor. Tetapi sehingga merendah dan menidakkan keupayaan diri adalah salah.

Sebagai umat yang diajar dan diasuh dengan ilmu agama, kita sudah diberitahu mengenai proses mencapai kejayaan. Bagi yang benar-benar percaya kepada kemampuan diri, mampu mengubah nasib dan mencipta kejayaan. Kejayaan dicipta oleh diri kita sendiri, bukan orang lain.

Tukar pola berfikir
Jika sebelum ini kita selalu berfikiran negatif, sudah masanya kita menukar fikiran negatif tersebut menjadi positif. Buangkan perkataan 'tidak', 'malas', 'tidak mahu' dari dalam diri. Semua sifat negatif tersebut adalah racun berbisa yang kita tidak sedari.

Positifkan diri sendiri. Jangan meracun pemikiran anda dengan seribu satu alasan yang membataskan anda dari kejayaan anda. Kejayaan anda sudah ada dihadapan. Gapai ia.

Berusaha
Berusaha dengan cara yang bijak. Bukan berusaha secara membabi-buta. Manusia yang berjaya adalah mereka yang mengatur tindakan dan kejayaan mereka sejqak dari mula lagi.

Mari kita fikirkan. Sekiranya anda inginkan pendapatan sebanyak RM5000 sebulan, adakah anda hanya perlu duduk goyang kaki di tempat anda sekarang dan menunggu pendapatan tersebut apabila tibanya hujung bulan? Tiada hasil tanpa usaha. Jika inginkan sesuatu, kita perlu lakukan sesuatu.

Berjaya
Sentiasa berfikir akan kejayaan. Jangan pandang kebelakang. Jangan fikirkan kegagalan. Buangkan sifat gagal dari pemikiran anda. Sekiranya anda masih lagi berserah, pasrah dan mengharap kejayaan datang tanpa sekalipun anda 'berfikir' akan kejayaan tersebut, anda tidak akan mencapai kejayaan.

Orang yang berjaya sentiasa berfikir untuk berjaya.

Fokus
Sentiasa fokus dengan apa yang anda lakukan. Sesuatu perkara yang anda lakukan secara berterusan dan fokus, akan membuatkan anda seorang yang pakar dan menghasilkan kejayaan sepertimana yang anda inginkan.

Mereka yang fokus kepada sesuatu perkara atau bidang yang sama secara konsisten, dipanggil pakar bidang. Mahukah anda menjadi pakar bidang dan menjadi sumber rujukan? Sudah tentu jawapannya, YA. Teruskan usaha dan fokus kepada apa yang anda lakukan.

Semoga sukses selalu.

Shah Othman
013-4324936 | shahmar_5003@yahoo.com
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

07 Januari 2012

Kunci menjadi kreatif

Salam sejahtera, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kerana anda masih lagi menyokong saya meneruskan perkongsian ilmu melalui blog ini.

Untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi sesuatu yang saya perolehi melalui pembacaan saya.

Ramai yang mengetahui, seseorang yang berjaya adalah mereka yang dilihat berbeza dari orang lain. Mereka juga sering dilihat membuat keputusan yang tidak menyerupai orang lain disekeliling mereka. Dalam kejayaan mereka, tahukah kita, mereka berfikir secara kreatif bagi mengecapi kejayaan yang mereka peroleh itu?

Saya ambil contoh mendiang Steve Jobs yang memberi makna baru kepada dunia pengkomputeran. Sebelum jenama Apple digilai semula sejak zaman kegelapan mereka dahulu, kita semua tidak pernah terfikir akan adanya gajet berupa iPhone, iPod, iPad dan seumpamanya di pasaran. Kita juga tidak pernah terfikir akan mudahnya memuat-turun lagu-lagu kegemaran dari Internet.

Setelah munculnya gajet-gajet tersebut, barulah kita menyedari akan hal ini.

Tahukah kita, tanpa pemikiran kreatif seorang yang bernama Steve Jobs ini, kita semua tidak mampu merasai apatah lagi memiliki gajet-gajet tersebut?

Rahsia dalam pemikiran kreatif adalah sentiasa meneroka. Hanya melalui penerokaan, seseorang akan bertambah kreatif dan mampu menjadikan sesuatu yang dianggap biasa-biasa menjadi luarbiasa.

Dahulu, kita menganggap sebuah kedai kopi tidak jauh bezanya dari kedai kopi lain yang hanya menghidangkan kopi dan makanan seperti roti, telur rebus dan sarapan lain di pagi hari. Kini, melalui pemikiran kreatif yang sentiasa meneroka dan berinovasi, kita dapat melihat dipelusuk bandar-bandar kecil dan besar, kedai kopi bukan lagi hanya sebuah kedai kopi.

Tentu anda pernah duduk menghabiskan masa sambil minum kopi kegemaran anda di restoran Oldtown, Kapitan ataupun Kopitiam. Saya juga gemar menghabiskan masa ditempat-tempat seperti itu. Suasananya sudah tidak sama seperti kedai kopi biasa. Layanan mereka juga sudah ditahap lebih baik. Sambil menghirup kopi ice blended Mocha kegemaran saya, saya memuji-muji mereka disebalik wujudnya kedai kopi jenis ini. Cuma saya masih menunggu akan adanya seorang usahawan Muslim yang membuka kedai kopi seperti itu. Mungkinkah dalam masa terdekat ini saya akan berpeluang menghabiskan masa di kedai kopi seperti itu yang sepenuhnya milik Muslim? Hanya masa dan kreativiti tuan-puan yang akan menentukan segala-galanya, InsyaAllah.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

05 Januari 2012

Jendela Keusahawanan 2012 : Kuasa Masa

Artikel ini ditulis oleh Nazri Kadir

2012. Ada apa pada angka? Begitulah telahan yang selalu kita terima daripada ramai orang. Ada yang memandang mudah kepada angka dan ada yang terlalu obsess kepada angka. Sebagai seorang usahawan atau bakal usahawan. Angka memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan kita. Saban hari, seorang usahawan akan bermain-main dengan angka. Bukan sahaja dalam perkara berkaitan untung rugi perniagaan tetapi juga tentang pengurusan masa.

2012 yang sudah menjelma beberapa hari yang lalu menandakan peralihan masa sekali lagi dalam hidup kita. 2012 bukanlah sekadar angka yang menunjukkan tibanya tahun tertentu. Sebenarnya, ia berfungsi sebagai angka yang menerangkan kepada peralihan masa. Memandang serius peralihan masa yang dilalui oleh kita adalah satu perkara mustahak kepada seseorang usahawan. Ianya amat signifikan.

Oleh itu, kita pasti tertanya-tanya. Apakah signifikannya peralihan masa dengan dunia keusahawanan yang sedang kita lakukan sekarang ini?

Jawapannya-Signifikannya amat besar kerana peralihan masa adalah salah satu faktor yang memberi ruang dan peluang kepada warga usahawan merencanakan serta menyusun kembali apa yang telah dilalui oleh mereka pada tahun-tahun sebelumnya.

Secara tersiratnya pula, setiap usahawan yang mengambil berat tentang peralihan masa, bermakna mereka telah memiliki sebahagian dari ciri-ciri seorang usahawan Muslim yang memenuhi konsep Jutawan Al-Falah™.

Di mana, konsep keusahawanan Islam dan model Jutawan-Al Falah™ telah menggariskan bahawa masa adalah elemen terpenting menentukan keperibadian seseorang usahawan.

Seorang usahawan yang mengabaikan faktor masa dalam membangunkan perniagaannya pasti akan menemui jalan sukar untuk meraih kejayaan semaksimum mungkin seperti tokoh-tokoh usahawan lain yang telah mencapai kecemerlangan.

Ini kerana, mengabaikan masa menyebabkan seseorang usahawan menjadi tidak berdisiplin dalam rutin harian serta perancangan masa hadapan. Dia tidak dapat membezakan keperluan perubahan perniagaannya dari satu titik masa ke titik masa yang lain.

Dia juga akan menjadi seseorang yang tidak ambil berat tentang pengurusan masa keseluruhan organisasi yang dipimpin atau perniagaan yang dibangunkannya. Akibatnya, perniagaan yang dibinanya akan menemui kegagalan kerana kepentingan masa tidak didahului dalam merancang pembangunan perniagaan yang dijalankan.

Usahawan yang menjadikan Islam sebagai teras utama prinsip perniagaanya akan berjaya menjadikan dirinya sebagai seorang pengurus masa yang baik. Ini kerana, Islam amat menekankan kepada kepentingan masa dalam setiap aspek kehidupan manusia di muka bumi ini. Allah menjelaskan kepentingan masa di dalam Al Quran yang bermaksud :

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." Surah Al Asr :1-3

Melalui surah ini, para usahawan turut dapat memanfaatkannya sebagai garis panduan dalam menjadi pengurus masa yang seimbang dalam kehidupan. Antara garis panduan yang boleh diperolehi :

1. Ramai usahawan berada dalam kerugian kerana kegagalan mereka dalam membuat perancangan yang teliti akan perkara-perkara yang perlu dilakukan. Ini termasuklah dalam menguruskan masa yang setiap orang memilki 24 jam sehari tanpa mengira apa jua bidang pekerjaan mereka.

2. Allah mengingatkan para usahawan supaya sentiasa mendisiplinkan diri dalam membuat segala perkara agar kejayaan yang ingin dicapai membawa keberkatan dan kebahagiaan yang sejati. Disiplin diri usahawan yang tinggi akan memberikan kekuatan kepada para usahawan bukan sahaja dari segi konsisten dalam keimanan kepada Allah dan beramal soleh kepadaNya tetapi akan melatih diri usahawan untuk sentiasa konsisten dalam hal-hal pengurusan masa.

3. Kesabaran adalah kunci penting kepada seseorang usahawan dalam pengurusan masa. Boleh jadi, dengan menguruskan masa, kita mungkin akan rasa rimas dan tidak bebas melakukan sesuatu. Walhal, sebagai usahawan, kita bukan lagi seorang pekerja yang terikat dengan aturan masa. Hal ini, memerlukan kita untuk sentiasa bersabar dalam mematuhi aturan masa yang telah ditetapkan dan Allah telah mengingatkan bahawa dengan kesabaran. Kejayaan sejati akan dinikmati pada penghujungnya-Jutawan Al Falah™.

Tiga garis panduan di atas yang didasari dari Surah Al 'Asr itu sebenarnya sudah cukup untuk kita mengetahui dan memahami erti –Kuasa Masa. Usahawan yang dapat memanfaatkan Kuasa Masa akan berkemampuan mengoptimumkan perniagaannya dalam banyak perkara. Contohnya dari aspek pengurusan sumber manusia, pengeluaran produk dan servis, perakaunan dan kewangan, jualan dan pemasaran serta pengurusan sumber-sumber luaran.

Bayangkan betapa suksesnya kita sebagai seorang usahawan dengan berjaya mengoptimumkan pelbagai perkara hanya melalui pengurusan masa yang baik.

Penghujung bicara, Angka sebenarnya adalah Kuasa Masa dan Kuasa Masa bukan lagi satu perkara yang harus dibiarkan terpinggir di dalam kehidupan seorang usahawan. Artikel seterusnya, kita akan meluaskan lagi bicara Kuasa Masa dengan melihat lebih mendalam strategi-strategi yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan dalam membina sistem pengurusan masa yang efektif dan seimbang.

Salam Inspirasi

NazriKadir TRUMP

www.NazriKadirTrump.com


Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

03 Januari 2012

Rebut Peluang Yang Ada

Masih saya ingat ketika kali pertama menjalankan perniagaan ketika belajar di kolej.

Kerana ingin mencari wang lebih, saya menjual rokok secara 'loose' kepada rakan2 seasrama. Dengan keuntungan purata 10-15 sen bagi sebatang rokok, sudah dapat menampung sedikit perbelanjaan harian saya.

Saya mengambil peluang yang ada untuk menambah wang saku. Peluang ini diberikan oleh seorang rakan yang terlebih dahulu menjalankan perniagaan tersebut. Oleh kerana beliau juga adalah perokok, segala keuntungan jualan beliau habis begitu sahaja.

Saudara, kadang-kadang peluang datang kepada kita tanpa kita duga. Kadang-kala juga, pesaing kita juga boleh memberi peluang kepada kita. Rebut segala peluang yang ada di depan mata.


Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...