Rata-rata usahawan
yang menjalankan perniagaan ingin mengecapi kejayaan. Kerana itu jugalah kita
disarankan berniaga.
Dunia perniagaan penuh dengan
onak dan cabarannya. Jatuh bangun adalah adat bagi peniaga. Kadangkala,
kejayaan yang dicitakan seperti tidak akan kesampaian. Menelusuri arus dunia
perniagaan yang serba pantas, meredah onak ranjau berurus niaga dengan para
pelanggan dan rakan niaga. Usahawan adalah pejuang dalam mencari erti kejayaan.
Dunia sentiasa berubah,
pemimpinlah yang mengubahnya. Seberapa pantas para usahawan seperti anda mampu
mengejarnya, terpulang kepada daya tahan anda dan syarikat anda. Arus deras
tersebut tidak akan menunggu anda, sebaliknya ia akan meninggalkan anda jauh ke
belakang. Anda yang perlu mengejarnya.
Mari kita fikirkan sejenak. Lebih
50 tahun dahulu, kita menggunakan piring hitam bagi mendengar lagu-lagu.
Kemudian, ia digantikan dengan pita kaset. Ia mengambil masa sehingga hampir 50
tahun untuk menggantikan piring hitam tersebut. CD (Compact Disc) pula menggantikan pita kaset hanya dalam tempoh lima
tahun. Tidak kurang daripada tiga tahun selepas CD muncul, MP3 pula
diperkenalkan. Bukan itu sahaja, iTunes juga diperkenalkan kepada khalayak
seiring dengan teknologi MP3.