21 September 2011

Saya seorang yang gagal...

Saya gagal, saya gagal, saya gagal!

Berapa kali saudara sudah ucapkan perkataan tersebut sepanjang hari dan sepanjang minggu ini? Berapa kali saudara berasakan saudara benar-benar seorang yang gagal?

Mahukah saudara menjadi seorang insan yang gagal? Gagal dalam perniagaan, gagal dalam rumahtangga, dalam kehidupan dan pelbagai lagi. Fikirkan dahulu kenapa saudara berasakan demikian.

Menjadi seorang yang gagal bukanlah penamat kepada usaha yang saudara lakukan selama ini. Ia adalah titik mula yang saudara perlu usahakan. Titik mula yang membawa gelombang baru dalam kehidupan saudara.

Tentu saudara pernah mendengar nama Michael E Gerber, beliau adalah penulis buku E-Myth. Menurut beliau, sepanjang hidupnya sebelum mengecapi kejayaan, beliau sering berasakan diri beliau sebagai seorang yang gagal. Gagal dalam berumahtangga, tidak mempunyai pekerjaan, tiada wang untuk kegunaan, hidup menumpang bersama abangnya.

Pada umur beliau sudah menjangkau 40-an, tiba-tiba beliau seperti tersedar. Beliau bukanlah gagal sepenuhnya. Ia seperti satu permulaan untuk beliau mencuba perkara baru dan mencipta kejayaan.

Sehingga kini, beliau sudah menjadi seorang penceramah bidang bisnes kecil yang terkenal. Beliau mengumpulkan semua pengalaman sebagai jurujual sepanjang 'zaman kegagalan' beliau untuk dikongsikan bersama.

Di Malaysia, adaseorang yang dahulunya gagal sehingga sekarang beliau berani untuk gagal. Orang yang saya maksudkan adalah Billi Lim. Sekiranya saudara membaca kisahnya dalam buku Berani Gagal, saudara akan dapat merasai ketekunan beliau bangkit dari kegagalan.

Pengalaman Dari Kegagalan

Usahawan yang berjaya bukanlah terus bermula dengan kejayaan. Bukit yang perlu didaki masih tinggi dan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Pendakian perlu diteruskan, semangat perlu diterapkan dan diri perlu dimotivasikan.

Saya suka membaca kisah mendiang Tan Sri Lim Goh Tong dalam bukunya Kisah Saya. Buku tersebut adalah buku berkaitan bisnes yang pertama saya beli. Masih ingat kata-kata seorang rakan semasa saya bekerja di sebuah pasaraya di Bukit Jambul, Pulau Pinang. "Hang nak jual apa, nak jual dadah?".

Dalam buku tersebut, mendiang menceritakan bagaimana beliau terlibat dalam bisnes dan bagaimana beliau sanggup melakukan kerja-kerja yang tidak sanggup dilakukan kebanyakan kontraktor lain. Peluang yang beliau ambil dan cipta. Dari gagal, beliau menjadi jutawan. Sehingga hari ini beliau masih lagi diingati ramai orang terutama apabila kita bercuti di Genting Highland.

Gagal bukanlah kayu pengukur kepada apa yang saudara sedang lakukan. Gagal bererti membuka peluang dan memberi pengalaman kepada diri kita.

Semoga sukses selalu.


Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.


2 ulasan:

  1. Terima kasih tuan atas perkongsian ini. Persepsi gagal itu harus dilihat dari sudut pandang positif, sekiranya kita ingin mencapai matlamat.

    Ini kerana... Semua orang akan menghadapi kegagalan dalam hidupnya, walaupun sekali.

    BalasPadam
  2. Saya setuju dengan pendapat saudara.

    Sebagai usahawan yang sentiasa perlu 'berperang' dengan keputusan dan perasaan dalam diri, kita tidak terlepas untuk mempunyai perasaan seperti ini. Namun, bukan semua kegagalan harus dianggap sebagai kegagalan. Ia harus dianggap sebagai pengalaman dan batu loncatan untuk menjadi lebih baik.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...