04 September 2011

Melihat pesaing sebagai bukan pesaing

Dalam dunia perniagaan, kita tidak boleh lari dari pesaing. Sebut sahaja apa jenis perniagaan yang dijalankan, semuanya mempunyai pesaing. Walaupun saudara menjalankan perniagaan menjual nasi lemak di tepi jalan, saudara juga mempunyai pesaing.

Saya sering melihat banyak perniagaan yang jatuh kerana tidak mampu menghadapi persaingan. Ada yang sudah menjalankan perniagaan hampir 10 tahun, hanya dek tak mampu bersaing, mereka terus menyerah kalah. Membiarkan pesaing mereka ketawa dan terus mengumpulkan kekayaan wang ringgit.

Pesaing sebenarnya bukanlah orang yang sengaja mahu kita gulung tikar. Mereka juga mencari rezeki untuk menyara keluarga dan mencapai tahap bebas kewangan sepertimana saudara. Sepatutnya saudara perlu melihat pesaing sebagai pendorong yang akan mendorong perniagaan sudara lebih maju berbanding pesaing saudara.

Persaingan yang positif apabila saudara mampu berada 10% - 20% lebih hadapan daripada pesaing. Sebagai contoh, jika pesaing saudara dapat menghasilkan jualan RM2000 pada hari tersebut, saudara perlu menghasilkan jualan sehingga RM2200 - RM2500. Ini adalah persaingan yang positif.

Pesaing adalah penggalak untuk kita sebagai ahli perniagaan. Mereka mencabar kita untuk menjadi lebih baik. Mungkin selama ini kita terlepas pandang dari segi kualiti dan jenama yang ada pada perniagaan kita. Mungkin ia juga merupakan penyebab kenapa perniagaan kita tidak berkembang. Dengan adanya pesaing, kita dapat menaiktaraf kualiti dan penjenamaan perniagaan dan diri kita.

Melihat pesaing sebagai bukan pesaing adalah satu perkara yang agak sukar. Tapi saudara boleh lakukan sekiranya saudara mempunyai sifat-sifat berikut;
  • positif
  • berfikiran terbuka
  • sentiasa ingin berevolusi
  • tidak berputus asa
  • mampu menukar perkara negatif menjadi penjana wang
  • tidak mempercayai perbuatan syirik dan kurafat seperti bomoh
Saya berharap, lebih ramai yang menjalankan perniagaan akan lebih berkembang dengan adanya persaingan, bukan terus menguncup dan gulung tikar.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...