23 Mei 2012

Rahsia Memikat Pelanggan

Sebagai usahawan, mahu tidak mahu, kita perlu memikat pelanggan supaya terus mendapatkan produk atau servis yang kita ketengahkan.

Terdapat pelbagai cara dan teknik yang sering digunakan oleh para usahawan di luar sana. Ada yang memberikan hadiah percuma, waranti tambahan, servis lepas jualan secara percuma atau secara diskaun. Tidak kurang juga yang memberikan banyak barangan percuma pada harga tidak masuk akal!

Saya akan kongsikan dengan anda dua tips yang berguna  untuk memikat pelanggan anda. Tips yang mudah dan amat sesuai diamalkan oleh anda, sekiranya anda sering berjumpa dengan para pelanggan. Anda juga boleh meminta para staf anda berbuat perkara yang sama.

Pertama - Senyum

Tiada apa yang dapat menandingi kuasa senyuman ikhlas ketika anda berhadapan dengan pelanggan. Setiap insan bernyawa amat menyukai senyuman. Sesiapa sahaja mudah tertarik dengan senyuman ikhlas.



Tahukah anda, selain menampakkan anda manis, senyuman juga boleh dikira sebagai senaman untuk wajah anda. Terdapat 17 otot-otot muka akan bergerak selaras dengan senyuman anda. Justeru, ia akan membuatkan wajah anda kelihatan ceria dan awet muda.

 Pelanggan akan berasa seperti dihargai jika anda melontarkan senyuman kepada mereka. Sebaliknya, jika anda mengerutkan dahi, mereka akan menganggap anda tidak suka berurusan dengan mereka atau berasakan mereka seperti mengganggu rutin harian anda. Percayalah, pelanggan sebegini tidak akan kembali lagi kepada anda.

Kedua - Pantas

Dalam apa-apa servis sekalipun kepantasan adalah kunci paling besar dalam menentukan samada pelanggan tersebut akan berpuas-hati atau sebaliknya.

Cuba anda bayangkan, sekiranya anda perlu menunggu lebih setengah jam hanya untuk mendapatkan makanan tengahari anda di sebuah restoran. Bagaimana perasaan anda ketika itu. Tentu anda berasa marah, bukan? Begitu juga halnya kepada pelanggan anda. Sekiranya hal ini terjadi, berkemungkinan pelanggan tersebut tidak akan kembali lagi kepada anda.

Saya suka mengambil kata-kata saudara Fathuallah, Fast Action Target Hit. Kerana jika anda bergerak secara pantas, anda akan dapat mencapai sasaran anda.

Semoga sukses selalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...