27 Ogos 2011

Bagaimana Mengekalkan Kedudukan Dalam Pasaran?

Setelah saudara berjaya memasuki pasaran, kini tiba masanya pula untuk kekal berada dalam pasaran. Jika saudara melihat kepada keadaan perniagaan di Malaysia, kebanyakan perniagaan akan mula mempunyai masalah selepas 3-4 tahun berada dipasaran. Mungkin ia hanya satu kebetulan, tetapi ia mungkin juga berlaku kepada saudara jika kurangnya perhatian kepada perniagaan yang saudara jalankan ini.

Sembilan dari sepuluh rezeki di dunia ini adalah melalui perniagaan, tetapi sembilan puluh peratus perniagaan semakin menuju kearah kejatuhan.

Sesuatu perniagaan tidak boleh dianggap berjaya jika masih ramai yang belum mengetahui mengenainya. Jika saudara berfikir sejenak, adakah perniagaan yang sudah boleh dianggap sebagai berjaya dikenali dengan sendirinya oleh para pelanggan? Sudah tentu tidak. Ambil KFC dan McDonalds sebagai contoh. Walaupun sudah dikenali dikalangan penggemar makanan segera, mereka masih lagi membuat pengiklanan dan pemberitahuan mengenai produk mereka dari semasa ke semasa. Ini bertujuan untuk mengekalkan jenama mereka didalam pasaran.

Persaingan terlalu banyak. Gagal untuk terus kekal di pasaran bermakna saudara sedang merancang untuk menukar kerjaya lain. Perniagaan saudara seperti pohon bunga, perlu disiram dan dibajai setiap waktu. Semakin disiram dan dibajai, tumbesaran akan berlaku. Perniagaan saudara juga sebegitu. Ia perlu melalui proses tumbesaran. Bukan hanya menunggu dan melihat keadaan sekeliling tanpa ada usaha untuk mengembangkannya.

Promosi berterusan

Promosi tidak patut terhenti setalah saudara mencapai tahap kewangan yang diingini. Sebagai contoh, saudara menginginkan pendapatan sebanyak RM230,000.00 setahun. Saudara telah mencapai jumlah tersebut mungkin kurang dari setahun. Kemudian, saudara hanya menjalankan perniagaan seperti biasa. Tiada promosi yang dilakukan, hanya menunggu pelanggan datang atau menghubungi saudara. Percaya atau tidak, dengan berbuat sebegini, perniagaan saudara akan menguncup, bukan mengembang.

Promosi harus berterusan. Penyebaran bahan seperti risalah perkhidmatan dan pengiklanan laman web secara online juga perlu lebih kerap supaya pelanggan tidak akan melupakan saudara. Pelanggan sedia-ada akan sentiasa boleh mendapatkan perkhidmatan saudara untuk ahli keluarga mereka. Manakala pelanggan baru pula akan lebih mempercayaai saudara.

Menjalankan promosi berterusan sama pentingnya seperti saudara membina jaringan networking seperti yang kita bincangkan sebelum ini. Promosi bukan sahaja memberitahu khalayak pelanggan mengenai diri saudara, ia juga bertujuan mengekalkan jenama saudara dihati setiap pelanggan, pelawat blog / laman web saudara.

Nota : Dipetik dari ebook Rahsia Bisnes Fotografi Perkahwinan



Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...