29 Disember 2011

Punca Gagal Dalam Bisnes

Tentu saudara ingin mengetahui punca-punca kegagalan seseorang usahawan dalam bisnes. Perkara yang menjadi penyebab kejatuhan sesuatu bisnes.

Kegagalan dalam bisnes adalah igauan ngeri setiap usahawan. Tidak terkecuali usahawan yang sudah membuat pendapatan jutaan ringgit setahun atau sebulan. Kegagalan dalam bisnes boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Ia umpama virus yang terbang bebas diudara. Sekali ia hinggap di badan saudara, ia akan merosakkan sistem didalam badan tersebut. Seterusnya, segala sistem akan lumpuh.

Disini saya senaraikan lima perkara yang menjadi punca kegagalan dalam bisnes.

1. Tidak tetap pendirian

2. Mengaggap diri sudah pandai

3. Malas

4. Gagal merancang

5. Ego

Lima perkara diatas hanyalah sebahagian punca kegagalan seseorang usahawan dalam perniagaan. Masih terdapat banyak lagi punca kegagalan yang ditakuti usahawan, tetapi sering dilakukan mereka. Malah ia sering berulang setiap hari tanpa mereka menyedari.

Tidak tetap pendirian

Pendirian yang tidak tetap dan sering berubah-ubah menyebabkan mereka tidak fokus kepada sesuatu perkara yang dilakukan. Sekiranya mereka mempunyai perancangan sedia-ada, mereka tidak melaksanakannya, malah dengan segera menukar perancangan.

Sebarang pendirian atau perancangan yang dilakukan, harus dilaksanakan sehingga mencapai kejayaan. Ia tidak boleh terhenti begitu sahaja. Setelah mencapai keputusan dari perancangan tersebut, samada berjaya ataupun tidak, barulah boleh ditukar kepada perancangan lain yang lebih baik.

Menganggap diri sudah pandai

Ini adalah penyakit biasa yang dialami ramai usahawan, terutama kepada usahawan baru. Mereka menganggap mereka sudah tahu dan pandai menjalankan perniagaan. Mereka menganggap mereka dapat mentadbir perniagaan tersebut tanpa bantuan orang lain.

Terimalah hakikat, sesebuah perniagaan yang berjaya tidak dijalankan secara sendirian. Ada rakan kongsi atau ada pekerja yang setia membantu sehingga perniagaan tersebut berjaya. Jangan malu mengaku jika kita tidak tahu akan sesuatu perkara. Carilah ilmu selagi terdaya. Berkongsilah dengan usahawan yang terlebih dahulu mencapai kejayaan.

Malas

Semasa saya bersekolah di kampung, guru saya sering memberi peringatan berkenaan sifat malas ini. Malas adalah punca utama segala yang dirancang tidak mencapai seperti mana yang dirancang. Segala impian tidak akan tercapai sekiranya seseorang itu malas.

Untuk mencapai kejayaan seperti yang diingini, sifat ini perlu dikikis. Terapkan disiplin dalam diri. Ubah dari dalaman sehingga luaran. Sekiranya berjaya, saudara sudah mengatur langkah menuju kejayaan.

Gagal merancang

Saya pernah membincangkan perkara ini suatu masa dahulu. Usahawan yang gagal dalam bisnes, adalah usahawan yang gagal merancang kejayaan beliau. Beliau gagal menetapkan matlamat kejayaan. Tiada fokus dalam mencapai kejayaan.

Perancangan kejayaan perlu bermula dari sebelum hari pertama menjalankan bisnes. Ia perlu dirancang seperti mana saudara merancang jadual saudara sehari-hari. Perancangan kejayaan bukan sahaja perlu dirancang, malah perancangan harian juga sebahagian dari perancangan kejayaan tersebut. Buatlah perancangan perkara apa yang saudara akan lakukan setiap hari.

Ego

Sifat ini terdapat dalam diri setiap manusia. Kekuatan sifat ego ini mampu meruntuhkan sebuah empayar yang besar. Keruntuhan empayar Parsi adalah kerana sifat ego rajanya. Keruntuhan rumahtangga adalah kerana sifat ego si suami.

Usahawan yang berjaya tidak meletakkan sifat ego sebagai sifat utama dirinya. Malah mereka mengenepikan terus sifat ini. Mereka sentiasa tanamkan sifat rendah diri. Seperti resmi padi, makin berisi, makin menunduk.

Semoga sukses selalu

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...