30 Disember 2011

Apa yang Menyebabkan Usahawan Itu Kaya dan Berjaya?

Ditulis oleh Aqif Azizan

Setiap buku berkenaan perniagaan ditulis oleh penulis yang berbeza-beza latar belakangnya. Ada yang ditulis oleh golongan yang mempunyai pencapaian akademik tertinggi, tetapi tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam perniagaan.

Mereka hanya berlandaskan analisis, kajian dan sebagainya bagi menyampaikan maklumat kepada pembaca.

Bagi seorang usahawan yang menulis buku, konsepnya pula berbeza-beza. Sebagai contoh, bilionair dunia, Bill Gates menekankan konsep melakukan perkara yang kita minat untuk membina perniagaan yang berjaya.

Manakala Donald Trump pula sentiasa menekankan konsep supaya pembaca mempunyai impian yang besar untuk berjaya dalam perniagaan.

Minat dan mempunyai impian yang besar. Satu konsep yang jelas berbeza.

Situasi ini secara tidak langsung mengelirukan para pembaca yang menjadikan buku sebagai medium ilmu untuk memulakan perniagaan.

Kita tertanya-tanya, apakah rahsia utama kejayaan para usahawan hebat seperti mereka berdua ini?

Mempunyai minat yang mendalam dan juga berimpian besar adalah langkah yang perlu didalami oleh individu, tetapi bukan perniagaan. Dalam perniagaan, terdapat satu perkara utama yang dapat menjadikan seorang usahawan itu kaya dan berjaya.

Perkara itu adalah...

Pelanggan – Nadi, Nafas, dan Segalanya Untuk Bisnes

Menurut Wikipedia, pelanggan adalah golongan individu yang berpotensi untuk mengeluarkan duit daripada poket mereka untuk membeli produk. Dalam perniagaan, pelanggan adalah kuasa dan segala-galanya.

Ini kerana pelanggan yang memberikan wang kepada bisnes kita. Dengan wang, maka bisnes kita akan mempunyai aliran tunai. Aliran tunai ini yang akan menentukan sama ada perniagaan kita mampu bertahan atau bungkus awal.

Secara asasnya, setiap perniagaan memerlukan pelanggan. Kajian mendapati kegagalan sesebuah perniagaan itu berpunca daripada kekurangan pelanggan yang terus membeli produk atau servis yang ditawarkan.

Kenal Pasti Siapa Pelanggan Kita

Sebagai seorang usahawan dan pemilik perniagaan, kajian paling penting sebelum kita memulakan bisnes adalah mengenal pasti siapa pelanggan kita.

Perniagaan menjual ikan hanya memerlukan pelanggan yang mahukan ikan sahaja. Perniagaan penerbitan buku hanya memerlukan pelanggan yang inginkan buku sahaja. Apabila kita mengenal pasti siapa pelanggan, maka kita lebih jelas tentang keperluan mereka.

Dengan mengetahui keperluan mereka, mudah untuk kita menjual produk dengan lebih berkesan berkali-kali.

Contohnya, kita memiliki perniagaan butik pakaian muslimah. Manakala pelanggan kita adalah golongan wanita yang berusia 16 tahun hingga 30 tahun. Golongan yang berumur 16 tahun ini biasanya akan mengikut trend pemakaian tudung dan baju muslimah individu berpengaruh khususnya artis.

Justeru itu, kita dapat melakukan kajian trend menerusi gaya pakaian artis muslimah, televisyen, situasi semasa dan sebagainya.

Manakala bagi mereka yang berumur 27 tahun hingga 30 tahun, rata-rata mereka lebih suka memakai tudung dan baju muslimah yang lebih kemas, simple dan elegan. Golongan seperti ini jarang mengikuti trend pemakaian semasa.

Berdasarkan penerangan di atas, kita dapat lihat kepentingan memahami pelanggan supaya perniagaan kita lebih cepat maju dan menghasilkan banyak jualan. Apabila kita menjual sesuatu yang pelanggan perlukan, maka ketika itu pelanggan yang akan mencari-cari perniagaan kita.

Lebih Banyak Pelanggan Membeli, Lebih Kaya Perniagaan Itu

Formula dalam perniagaan adalah mudah. Lebih banyak pelanggan membeli, lebih tinggi hasil jualan perniagaan kita.

Untuk mempengaruhi pelanggan membeli, tugas kita adalah menyediakan produk yang mereka perlukan. Situasi ini berlaku pada sekecil-kecil bisnes hingga bisnes gergasi seperti Microsoft, Google, Air Asia dan sebagainya.

Oleh sebab itu syarikat-syarikat besar sanggup melaburkan sejumlah wang yang besar untuk mengenali bakal pelanggan mereka dengan lebih mendalam.

Para usahawan hebat yang membaca artikel ini, adakah kita sudah mengenal pasti siapakah sebenar-benarnya pelanggan bisnes kita?

Aqif Azizan merupakan pengarah & Front End Content Developer di Inovattic Solutions
Beliau merupakan penulis jemputan di blog ini.
Untuk melayari blog beliau, sila klik DISINI


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...