13 April 2012

Manisnya Kejayaan Untuk Siapa?

“Our greatest glory is not in never failing but in rising up in every time we fail”
– Ralph Waldo Emerson

Ada yang memandang kegagalan sebagai penutup kepada apa yang diusahakannya. Atau ada juga yang mengatakan kegagalan bermakna, kita tidak boleh lagi meneruskan apa yang sedang dilakukan, berhenti dan hanya lakukan perkara biasa-biasa yang tidak akan gagal.

Situasi sebegini sering terjadi kepada usahawan yang baru memulakan perniagaan dan mengalami kegagalan kemudiannya. Rakan-rakan atau saudara-mara terdekat akan mengatakan perkara negatif kepada beliau, sehinggakan beliau mengambil jalan singkat, terus menguburkan impian yang disimpan selama ini, iaitu untuk berjaya sebagai ahli perniagaan.


Kemanisan kejayaan bukanlah terletak pada usaha yang terus berjaya, tetapi sekiranya berlaku demikian, ianya adalah satu bonus. Kemanisan kejayaan pada saya adalah kejayaan untuk bangun semula dari kegagalan. Mencipta rentak langkah sehingga mencapai apa yang diingini.

Tidak semua yang kita impikan akan menjadi kenyataan. Malah ada yang tidak sempat kita mahu impikan, ia telah terpadam terlebih dahulu. Inilah yang dinamakan ujian. Anda perlu faham, untuk menempuh kejayaan, ada ‘bayaran’ yang perlu dibuat, ada pengorbanan yang perlu ditempuh, ada halangan yang perlu dipecahkan. Selagi anda masih belum melepasinya, kejayaan masih jauh lagi, ianya masih ditahap angan-angan.


Kejayaan sebenar berlaku untuk orang yang pernah gagal. Setiap kali kegagalan menimpa, mereka akan bangun semula. Itulah kejayaan sebenar yang tiada siapa boleh berikan. Hanya individu yang mengalaminya sahaja yang faham makna sebenar kejayaan.

Anda boleh mencipta kejayaan, dalam masa yang sama menolak kegagalan. Anda perlu lakukan sedikit pertukaran corak berfikir supaya apa yang anda mahukan tercapai. Apa yang anda hajatkan menjadi kenyataan.

Dalam dunia perniagaan, tiada istilah gagal dan terus gagal tanpa mencipta kejayaan. Apa yang selalu diterapkan oleh setiap usahawan yang berjaya ialah, ‘gagal sekali, pasti akan ada kejayaan dihujungnya.’
Semoga anda sukses selalu.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...