07 Januari 2012

Kunci menjadi kreatif

Salam sejahtera, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kerana anda masih lagi menyokong saya meneruskan perkongsian ilmu melalui blog ini.

Untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi sesuatu yang saya perolehi melalui pembacaan saya.

Ramai yang mengetahui, seseorang yang berjaya adalah mereka yang dilihat berbeza dari orang lain. Mereka juga sering dilihat membuat keputusan yang tidak menyerupai orang lain disekeliling mereka. Dalam kejayaan mereka, tahukah kita, mereka berfikir secara kreatif bagi mengecapi kejayaan yang mereka peroleh itu?

Saya ambil contoh mendiang Steve Jobs yang memberi makna baru kepada dunia pengkomputeran. Sebelum jenama Apple digilai semula sejak zaman kegelapan mereka dahulu, kita semua tidak pernah terfikir akan adanya gajet berupa iPhone, iPod, iPad dan seumpamanya di pasaran. Kita juga tidak pernah terfikir akan mudahnya memuat-turun lagu-lagu kegemaran dari Internet.

Setelah munculnya gajet-gajet tersebut, barulah kita menyedari akan hal ini.

Tahukah kita, tanpa pemikiran kreatif seorang yang bernama Steve Jobs ini, kita semua tidak mampu merasai apatah lagi memiliki gajet-gajet tersebut?

Rahsia dalam pemikiran kreatif adalah sentiasa meneroka. Hanya melalui penerokaan, seseorang akan bertambah kreatif dan mampu menjadikan sesuatu yang dianggap biasa-biasa menjadi luarbiasa.

Dahulu, kita menganggap sebuah kedai kopi tidak jauh bezanya dari kedai kopi lain yang hanya menghidangkan kopi dan makanan seperti roti, telur rebus dan sarapan lain di pagi hari. Kini, melalui pemikiran kreatif yang sentiasa meneroka dan berinovasi, kita dapat melihat dipelusuk bandar-bandar kecil dan besar, kedai kopi bukan lagi hanya sebuah kedai kopi.

Tentu anda pernah duduk menghabiskan masa sambil minum kopi kegemaran anda di restoran Oldtown, Kapitan ataupun Kopitiam. Saya juga gemar menghabiskan masa ditempat-tempat seperti itu. Suasananya sudah tidak sama seperti kedai kopi biasa. Layanan mereka juga sudah ditahap lebih baik. Sambil menghirup kopi ice blended Mocha kegemaran saya, saya memuji-muji mereka disebalik wujudnya kedai kopi jenis ini. Cuma saya masih menunggu akan adanya seorang usahawan Muslim yang membuka kedai kopi seperti itu. Mungkinkah dalam masa terdekat ini saya akan berpeluang menghabiskan masa di kedai kopi seperti itu yang sepenuhnya milik Muslim? Hanya masa dan kreativiti tuan-puan yang akan menentukan segala-galanya, InsyaAllah.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...