05 Januari 2012

Jendela Keusahawanan 2012 : Kuasa Masa

Artikel ini ditulis oleh Nazri Kadir

2012. Ada apa pada angka? Begitulah telahan yang selalu kita terima daripada ramai orang. Ada yang memandang mudah kepada angka dan ada yang terlalu obsess kepada angka. Sebagai seorang usahawan atau bakal usahawan. Angka memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan kita. Saban hari, seorang usahawan akan bermain-main dengan angka. Bukan sahaja dalam perkara berkaitan untung rugi perniagaan tetapi juga tentang pengurusan masa.

2012 yang sudah menjelma beberapa hari yang lalu menandakan peralihan masa sekali lagi dalam hidup kita. 2012 bukanlah sekadar angka yang menunjukkan tibanya tahun tertentu. Sebenarnya, ia berfungsi sebagai angka yang menerangkan kepada peralihan masa. Memandang serius peralihan masa yang dilalui oleh kita adalah satu perkara mustahak kepada seseorang usahawan. Ianya amat signifikan.

Oleh itu, kita pasti tertanya-tanya. Apakah signifikannya peralihan masa dengan dunia keusahawanan yang sedang kita lakukan sekarang ini?

Jawapannya-Signifikannya amat besar kerana peralihan masa adalah salah satu faktor yang memberi ruang dan peluang kepada warga usahawan merencanakan serta menyusun kembali apa yang telah dilalui oleh mereka pada tahun-tahun sebelumnya.

Secara tersiratnya pula, setiap usahawan yang mengambil berat tentang peralihan masa, bermakna mereka telah memiliki sebahagian dari ciri-ciri seorang usahawan Muslim yang memenuhi konsep Jutawan Al-Falah™.

Di mana, konsep keusahawanan Islam dan model Jutawan-Al Falah™ telah menggariskan bahawa masa adalah elemen terpenting menentukan keperibadian seseorang usahawan.

Seorang usahawan yang mengabaikan faktor masa dalam membangunkan perniagaannya pasti akan menemui jalan sukar untuk meraih kejayaan semaksimum mungkin seperti tokoh-tokoh usahawan lain yang telah mencapai kecemerlangan.

Ini kerana, mengabaikan masa menyebabkan seseorang usahawan menjadi tidak berdisiplin dalam rutin harian serta perancangan masa hadapan. Dia tidak dapat membezakan keperluan perubahan perniagaannya dari satu titik masa ke titik masa yang lain.

Dia juga akan menjadi seseorang yang tidak ambil berat tentang pengurusan masa keseluruhan organisasi yang dipimpin atau perniagaan yang dibangunkannya. Akibatnya, perniagaan yang dibinanya akan menemui kegagalan kerana kepentingan masa tidak didahului dalam merancang pembangunan perniagaan yang dijalankan.

Usahawan yang menjadikan Islam sebagai teras utama prinsip perniagaanya akan berjaya menjadikan dirinya sebagai seorang pengurus masa yang baik. Ini kerana, Islam amat menekankan kepada kepentingan masa dalam setiap aspek kehidupan manusia di muka bumi ini. Allah menjelaskan kepentingan masa di dalam Al Quran yang bermaksud :

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." Surah Al Asr :1-3

Melalui surah ini, para usahawan turut dapat memanfaatkannya sebagai garis panduan dalam menjadi pengurus masa yang seimbang dalam kehidupan. Antara garis panduan yang boleh diperolehi :

1. Ramai usahawan berada dalam kerugian kerana kegagalan mereka dalam membuat perancangan yang teliti akan perkara-perkara yang perlu dilakukan. Ini termasuklah dalam menguruskan masa yang setiap orang memilki 24 jam sehari tanpa mengira apa jua bidang pekerjaan mereka.

2. Allah mengingatkan para usahawan supaya sentiasa mendisiplinkan diri dalam membuat segala perkara agar kejayaan yang ingin dicapai membawa keberkatan dan kebahagiaan yang sejati. Disiplin diri usahawan yang tinggi akan memberikan kekuatan kepada para usahawan bukan sahaja dari segi konsisten dalam keimanan kepada Allah dan beramal soleh kepadaNya tetapi akan melatih diri usahawan untuk sentiasa konsisten dalam hal-hal pengurusan masa.

3. Kesabaran adalah kunci penting kepada seseorang usahawan dalam pengurusan masa. Boleh jadi, dengan menguruskan masa, kita mungkin akan rasa rimas dan tidak bebas melakukan sesuatu. Walhal, sebagai usahawan, kita bukan lagi seorang pekerja yang terikat dengan aturan masa. Hal ini, memerlukan kita untuk sentiasa bersabar dalam mematuhi aturan masa yang telah ditetapkan dan Allah telah mengingatkan bahawa dengan kesabaran. Kejayaan sejati akan dinikmati pada penghujungnya-Jutawan Al Falah™.

Tiga garis panduan di atas yang didasari dari Surah Al 'Asr itu sebenarnya sudah cukup untuk kita mengetahui dan memahami erti –Kuasa Masa. Usahawan yang dapat memanfaatkan Kuasa Masa akan berkemampuan mengoptimumkan perniagaannya dalam banyak perkara. Contohnya dari aspek pengurusan sumber manusia, pengeluaran produk dan servis, perakaunan dan kewangan, jualan dan pemasaran serta pengurusan sumber-sumber luaran.

Bayangkan betapa suksesnya kita sebagai seorang usahawan dengan berjaya mengoptimumkan pelbagai perkara hanya melalui pengurusan masa yang baik.

Penghujung bicara, Angka sebenarnya adalah Kuasa Masa dan Kuasa Masa bukan lagi satu perkara yang harus dibiarkan terpinggir di dalam kehidupan seorang usahawan. Artikel seterusnya, kita akan meluaskan lagi bicara Kuasa Masa dengan melihat lebih mendalam strategi-strategi yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan dalam membina sistem pengurusan masa yang efektif dan seimbang.

Salam Inspirasi

NazriKadir TRUMP

www.NazriKadirTrump.com


Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...