16 November 2011

Camera roll, Action!

Pernah dengar ayat 'camera roll, action!'?

Pada masa bagaimana saudara akan mendengar ayat sebegini? Tentu sekali semasa ada penggambaran filem, dimana pengarah akan meneriakkan kata-kata tersebut. Atau kadang-kala semasa kita masih diperingkat kanak-kanak, kita akan bermain dengan rakan-rakan sebaya seolah-olah kita sedang mengarah sebuah penggambaran filem. Saya tidak pernah bermain permainan sebegini. Tetapi, saya sering berkata begitu ketika menjalankan tugas sebagai juruvideo perkahwinan. Sehingga sekarang saya masih menjalankan perniagaan fotografi dan videografi.

Kali ini, saya nak berkongsi dengan saudara berkenaan 'ACTION'. Bagaimana action atau dalam bahasa yang selalu saya tafsirkan ialah TINDAKAN, boleh menjadi penggerak dalam perniagaan kita.

Sebagai seorang usahawan, kita sering kali perlu membuat perancangan dan keputusan bagi menggerakkan syarikat. Menghasilkan jualan ribuan ringgit adalah matlamat semua usahawan di dunia. Tiada usahawan yang menjalankan perniagaan tanpa mengharapkan keuntungan. Sekecil mana pun perniagaan yang saudara jalankan, keuntungan adalah matlamat. Betul?

Mari kita lihat kehebatan kuasa tindakan dalam perniagaan kita.

Saudara mempunyai produk yang baik, perancangan yang sempurna dan pasukan yang hebat. Segala promosi dirancang serta diurus dengan begitu baik sehinggakan tiada satu pun perkara yang tidak dimasukkan.

Selepas meneliti produk, perancangan yang diatur, kini tibanya masa yang kritikal iaitu membuat keputusan. Saudara sebagai pemilik syarikat harus membuat keputusan yang bijak. Kadang-kadang perlu melakukan solat sunat hanya untuk membuat satu keputusan penting kepada syarikat. Ianya bukan langkah mudah apabila syarikat saudara memperjudikan kewangan syarikat bagi sesuatu produk.

Pesaing saudara juga sedang bersiap-sedia memikirkan produk serta strategi baru bagi bersaing dengan produk saudara. Mereka mungkin sudah ternanti-nanti untuk melancarkan produk tersebut. Hanya menunggu masa yang sesuai. Saudara pula masih teragak-agak untuk membuat keputusan. Selang beberapa hari, pesaing saudara sudah melancarkan produk mereka dan lebih mengejutkan, produk mereka mempunyai ciri-ciri yang terdapat pada produk syarikat saudara. Mereka telah memasuki pasaran lebih awal dari saudara. Saudara terlewat membuat keputusan.

Boleh saudara bayangkan apa yang bakal terjadi?

Disini pentingnya TINDAKAN SEGERA. Kuasa tindakan mampu mengubah sepenuhnya perjalanan syarikat saudara. Kelewatan bertindak juga mengubah segala-galanya pada syarikat saudara.

Disini boleh saya katakan sekiranya kita bertindak pantas, kita akan mendapat ganjaran. Sekiranya kita masih ternanti-nanti, kita akan kehilangan.

Sama juga sekiranya kita menjual insurans. Saudara berjumpa prospek hampir setiap hari. Setiap hari juga saudara menerima penolakan dan alasan dari prospek. Saudara juga akan diberi janji oleh prospek untuk menghubungi saudara kembali. Sekiranya saudara hanya menunggu panggilan dari prospek, saudara tidak akan mendapat satu jualan pun. Tetapi sekiranya saudara bertindak lebih agresif dengan membuat panggilan susulan kepada prospek, peluang untuk saudara membuat jualan semakin cerah.

Orang yang bertindak adalah orang yang mampu menghasilkan sesuatu yang positif dalam hidup mereka.

Semoga saudara sukses selalu.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...