12 Februari 2012

Melabur wang atau melabur tenaga?

Sebagai usahawan, kita tidak terlepas dari ajakan atau pujukan rakan-rakan lain yang sama-sama usahawan untuk melabur wang kita di suatu dana pelaburan. Kita juga tidak akan terlepas dari 'terpengaruh' dengan sesuatu badan yang menguruskan pelaburan.

Selama saya bergelar usahawan, saya hanya membuat pelaburan di Amanah Saham Bumiputera, kerana saya menaruh kepercayaan kepada badan tersebut. Walau pulangan yang dijanjikan akan diperolehi hanya selepas setahun, saya tetap melabur di situ. Jumlahnya sudah cukup bagi saya.



Sebaik-baik pelaburan yang perlu kita jalankan adalah pelaburan terhadap masa depan perniagaan kita sendiri. Pelaburan yang akan membawa pulangan wang yang berlipat ganda kepada perniagaan. Mungkin ianya akan memakan masa, tetapi masa yang dilabur bersama-sama wang tersebut akan menghasilkan pulangan yang berbaloi.

Pelaburan yang saya maksudkan ialah pelaburan terhadap sistem promosi, pelaburan untuk meluaskan lagi jenama syarikat kita kepada masyarakat dan juga pelaburan kepada pembinaan syarikat. Tentu anda akan mengatakan, "pelaburan ini belum tentu menjanjikan pulangan, mungkin akan mengalami kerugian". Biarlah ia hanya menjadi mainan perasaan anda, usah dilafazkan dimulut.


Anda mempunyai produk, jenama dan ingin memasarkan produk tersebut kepada pengguna. Untuk apa anda mempunyai produk jika anda tidak berani melaburkan sedikit wang sebagai promosi kepada produk tersebut?

Ini satu ketakutan kepada usahawan Melayu yang saya kenali. Hampir kebanyakan usahawan Melayu yang saya kenali takut untuk mempromosi produk atau servis yang ditawarkan. Mereka takut untuk melaburkan sedikit wang bagi mendapat pelanggan yang akan datang bersama-sama wang.

Seorang pakar pemasaran pernah berkata kepada saya, "what you give, you'll get back". Maksudnya, setiap apa yang kita beri atau laburkan pasti ada pulangan dikemudian hari. Konsepnya sama seperti bersedekah. Semakin banyak dan semakin ikhlas kita bersedekah, semakin banyak yang Allah janjikan kepada kita.

Satu lagi pelaburan yang anda tidak perlu kedekut atau takut untuk keluarkan ialah pelaburan dari segi tenaga.

Saya faham sekiranya anda mengatakan anda sudah mempunyai pekerja. Tetapi sejauh mana kualiti yang pekerja anda mampu berikan seperti kualiti yang anda sendiri berikan? Tentu sekali tidak sama.

Jangan berat tulang untuk mendapat pulangan untung berlipat ganda. Tiada yang datang bergolek kepada anda, tiada juga yang datang melayang tanpa anda sendiri berusaha mencarinya.

Semoga anda sukses selalu.

Shah Othman
Ahli perniagaan dan jurulatih perniagaan sepenuh masa.
Mempunyai kepakaran dalam melatih usahawan-usahawan kecil yang ingin mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih baik.
Berpusat di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Bersedia memberikan khidmat seminar dan bengkel di mana sahaja para peserta inginkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...